Isnin, 8 April 2024 | 8:34pm
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - Foto fail NSTP

Lelaki Israel miliki 6 senjata api, 200 peluru didakwa Jumaat ini - KPN

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pistol dan 200 peluru di sebuah hotel di sini 27 Mac lalu, akan dituduh di mahkamah Jumaat ini.

Pendakwaan terhadap suspek itu selepas pasangan suami isteri yang menjual senjata api kepada lelaki itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu berkata, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Suspek mungkin dituduh seawal Jumaat ini," katanya di sini, hari ini.

Hari ini, pasangan suami isteri yang didakwa membekalkan senjata api kepada seorang warga Israel didakwa di Mahkamah Sesyen Klang awal hari ini berhubung pemilikan pistol 9mm CZ 75.

Sharifah Faraha Syed Husin, 41, didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (FIPAA) kerana didakwa memiliki pistol itu.

Sementara itu, suaminya, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, didakwa mengikut Seksyen 9 akta sama kerana bersubahat dengan Faraha apabila dia didakwa mengetahui pistol itu dalam pemilikannya.

Menurut dokumen mahkamah, pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 8 malam pada 29 Mac lalu di sebuah premis di Kampung Bukit Belimbing di Kuala Selangor.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

BH sebelum ini melaporkan, lelaki warga Israel berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemukan dalam bilik hotel suspek ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru, yang diletakkan di dalam beg miliknya.

Susulan itu, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita di Skudai dan Gelang Patah, Johor, dan pasangan suami isteri berusia 42 dan 40 tahun di Kuala Selangor,.

Selain itu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun di Cameron Highlands, Pahang turut ditahan kerana dipercayai menjadi pemandu kepada lelaki Israel terbabit.

Berita Harian X