Isnin, 8 April 2024 | 6:27pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. - Foto fail

Kerajaan tidak kompromi dengan pihak sengaja ancam kesucian Islam

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta pihak berkuasa berkaitan bagi menyelaras tindakan bersepadu menangani isu yang mengancam kesucian Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata pertemuan termasuk bersama pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dibuat dalam tempoh terdekat.

"Menjadi komitmen utama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menjaga kesucian agama Islam dan maslahah umat Islam.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang jelas terbukti membuat tindakan yang menghina agama Islam," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengenai pertemuan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern's Holding Sdn Bhd (Vern's), Datuk Seri Ng Chuan Hoo berhubung kasut keluaran syarikat itu logonya didakwa mirip kalimah Allah, Mohd Na'im berkata, pihaknya menyerahkan proses selanjutnya kepada polis.

Katanya, JAKIM sudah diarah untuk memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam melengkapkan siasatan.

"Sekiranya terdapat elemen yang bertentangan dengan undang-undang, maka proses selanjutnya akan diambil oleh pihak polis.

"Justeru, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada situasi ini supaya ia tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan semua pihak untuk sentiasa bertenang serta tidak mengambil langkah melulu yang bertentangan dengan undang-undang negara.

"Semua tindakan adalah berasaskan fakta dan bukti kukuh.

"Adalah menjadi kewajipan semua pihak untuk menjaga akhlak dan tingkah laku supaya keharmonian dan perpaduan dalam negara sentiasa terpelihara," katanya.

Berita Harian X