Isnin, 8 April 2024 | 3:08pm
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Orang utan jadikan pokok kelapa sawit sebagai sarang, makan buah sawit - Kajian

KUALA LUMPUR: Orang utan didapati berupaya menyesuaikan diri dengan persekitaran mampan di ladang kelapa sawit, termasuk menjadikan pokok kelapa sawit sebagai sarang serta memakan buah sawit yang masak.

Ia berdasarkan hasil kajian dijalankan di ladang kelapa sawit matang di sekitar kawasan muara Sungai Kinabatangan, Sabah, oleh sekumpulan penyelidik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai HUTAN yang terbabit dalam Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan mulai 2008 hingga 2012.

"Tinjauan dari udara dan di darat menemukan sarang-sarang orang utan di belukar serta kumpulan pokok terpencil di seluruh kawasan ladang kelapa sawit di muara Sungai Kinabatangan dan kawasan pokok nipah.

"Hasil pemantauan kami di darat mendapati orang utan lebih cenderung bersarang di pokok-pokok jenis lain, haiwan itu turut menggunakan kelapa sawit bagi tujuan ini," menurut jurnal yang ditulis hasil penemuan penyelidikan itu.

HUTAN sedang menjalankan kajian populasi orang utan di Sabah bawah tajaan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) membabitkan peruntukan sebanyak RM1.23 juta.

Pada 8 September 2023, MPOGCF, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan HUTAN memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi kajian populasi orang utan di negeri itu mulai 2023 hingga 2025.

Kajian itu adalah kesinambungan penyelidikan dijalankan kumpulan penyelidik HUTAN-Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan.

Jurnal bertajuk 'Of Pongo, Palms and Perceptions: A Multidisciplinary Assessment of Bornean Orangutans Pongo Pygmaeus in an Oil Palm Context' itu diterbitkan secara dalam talian oleh Cambridge University Press pada 30 Mei 2014.

Jurnal itu boleh dicapai secara dalam talian di laman sesawang Cambridge University Press (https://www.cambridge.org/).

Menurut jurnal itu lagi, orang utan menggunakan kelapa sawit sebagai sumber makanan dengan memakan pucuk muda dan buah masak daripada tandan yang gugur atau masih di atas pokok.

Selain itu, penyelidik turut menemukan sisa buah sawit yang tidak hadam dalam sampel najis orang utan.

"Hasil penyelidikan kami juga menunjukkan bahawa kerosakan daun kelapa sawit yang dilakukan oleh orang utan terhadap pokok-pokok matang, tidak memberi kesan kepada penghasilan buah," tambah jurnal itu.

Satu lagi penemuan menarik ialah kira-kira 90 peratus tanda kehadiran orang utan yang dikenal pasti dalam ladang kelapa sawit, dikesan kira-kira 50 meter dari kawasan belukar.

Jurnal itu juga menyatakan berhubung taburan populasi orang utan dalam kawasan ladang kelapa sawit yang kebanyakannya bergantung pada kewujudan hutan semula jadi dan pokok-pokok lain.

Hasil penyelidikan turut mendapati kebarangkalian pekerja ladang sawit terjumpa orang utan dalam landskap agroindustri berkenaan di Sabah, adalah agak tinggi.

"Peratusan responden boleh dipercayai (90 peratus) yang melaporkan mereka terjumpa orang utan di ladang kelapa sawit di sini adalah agak tinggi berbanding jumlah yang pernah terserempak dengan haiwan sama di hutan Kalimantan (42 peratus)," menurut jurnal itu.

Pada masa sama, jurnal itu turut menyatakan orang utan kelihatan lebih berdaya tahan dalam berdepan situasi perubahan habitat.

Berita Harian X