Isnin, 8 April 2024 | 1:58pm
 Irmohizam (berdiri tengah) bersama sukarelawan yang terbabit menjayakan program Infaq Kasih Hope & Comfort bagi membantu 300 gelandangan dan miskin bandar. NSTP/ Ercy Gracella Ajos
Irmohizam (berdiri tengah) bersama sukarelawan yang terbabit menjayakan program Infaq Kasih Hope & Comfort bagi membantu 300 gelandangan dan miskin bandar. NSTP/ Ercy Gracella Ajos

WTCKL agih bantuan, barangan keperluan kepada 300 gelandangan, miskin bandar di ibu kota

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menyantuni kira-kira 300 golongan gelandangan dan miskin bandar di ibu kota melalui program Infaq Kasih Hope & Comfort.

Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata Infaq Kasih Hope & Comfort yang dianjurkan julung kalinya itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dengan kerjasama Food For Gelandangan (FFG), Creative Seven Legacy & Ducati Malaysia serta pelajar Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Katanya, sejak dilancarkan pada awal bulan lalu, kakitangan WTCKL dan pengunjung menginfaqkan keperluan asas seperti pakaian terpakai, mainan terpakai, alat tulis serta peralatan kebersihan diri, lampin pakai buang dan makanan kering seperti beras, biskut dan sebagainya di lokasi pengumpulan barangan yang disediakan di pelantar WTCKL serta ruang pameran Ducati di cawangan Lembah Klang (Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Sungai Buloh).

"Program ini bermula 6 Mac hingga 5 April lalu dan barangan diinfaqkan ini diagihkan kepada golongan gelandangan serta miskin bandar di sekitar bandar raya Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

"Aktiviti ini dijalankan sukarelawan membabitkan kakitangan WTCKL, FFG, Creative Seven Legacy, Ducati Malaysia dan pelajar UNITEN, sekali gus kita dapat memanfaatkan keberkatan bulan Ramadan yang bakal berlabuh tirai tidak lama lagi.

"Laluan pengagihan barangan infaq ini bermula di Jalan Silang, Cahaya Suria, Bangkok Bank dan berakhir di Jalan Belia, di sekitar ibu kota," katanya kepada BH.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WTCKL, Yusri Mohd Junos; Ketua Pegawai Operasi WTCKL, Fauzy Wahab dan Pengurus Komunikasi Pemasaran WTCKL, Hadi Wahab.

Irmohaizam berkata, sebanyak 100 pek makanan kering termasuk mi segera, biskut, air mineral, roti dan ubat nyamuk diberikan kepada golongan gelandangan.

Selain itu, katanya, sebanyak 120 pek makanan kering termasuk mi segera, biskut, air mineral, roti, gula, kopi/teh, bihun, minyak masak dan tepung diagihkan kepada miskin bandar dan 150 pek makanan untuk kanak-kanak.

"Program Infaq Kasih Hope & Comfort ini diadakan untuk berkongsi rezeki bersama golongan gelandangan dan miskin bandar di sekitar Kuala Lumpur.

"Kami berharap bantuan diberi ini dapat menggembirakan golongan gelandangan dan miskin bandar, selain meringankan bebanan mereka.

"Saya percaya program ini dapat memberi impak positif terutama kepada kakitangan dan masyarakat tempatan dalam membantu mereka yang lebih memerlukan," katanya.

Katanya, WTCKL ingin menjadikan program ini sebagai tradisi dan menggalakkan lebih banyak kolaborasi daripada syarikat korporat dan swasta untuk menyokong inisiatif yang baik ini.

"Tiada nilai dan pelajaran lebih penting boleh didapati ketika menjalankan aktiviti sukarelawan selain meningkatkan rasa simpati, memberi kesedaran dan empati antara satu sama lain terutama pada bulan mulia ini," katanya.

Berita Harian X