Isnin, 8 April 2024 | 12:25pm
Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia menjangkakan harga hasil ladang akan naik kira-kira seminggu selepas sambutan Aidilfitri akibat pengeluaran berkurangan berikutan tenaga kerja sektor itu yang sememangnya tidak mencukupi, bercuti panjang sempena Aidilfitri. - Foto NSTP
Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia menjangkakan harga hasil ladang akan naik kira-kira seminggu selepas sambutan Aidilfitri akibat pengeluaran berkurangan berikutan tenaga kerja sektor itu yang sememangnya tidak mencukupi, bercuti panjang sempena Aidilfitri. - Foto NSTP

Harga sayur musim raya mahal

JOHOR BAHRU: Harga sayur-sayuran dijangka meningkat minggu depan disebabkan kurang pengeluaran dari ladang dan kebun apabila tenaga kerja sektor itu yang sememangnya sudah sedia ada kurang, bercuti panjang sempena Aidilfitri.

Tenaga kerja asing di ladang dan kebun sayur di negara kita, rata-ratanya beragama Islam dengan majoriti warganegara Indonesia dan selebihnya dari Bangladesh, selain sebahagian lagi membabitkan warga Nepal dan Myanmar.

Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia memberitahu BH, pihaknya tidak menolak kemungkinan harga hasil ladang itu naik menjelang 16 atau 17 April ini, kira-kira seminggu selepas sambutan Aidilfitri yang dijadual disambut pada Rabu.

Terdahulu pada pertengahan Mac lalu, BH melaporkan persatuan berkenaan bimbang pengeluaran sayur negara terjejas sehingga 40 peratus mulai bulan ini berikutan krisis tenaga kerja, sekali gus turut memberi impak kepada harganya yang dijangka mengalami kenaikan sehingga 25 peratus.

Mengulas perkembangan terbaharu, Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata kira-kira 30 peratus pekerja ladang dan kebun sayur di negara ini sudah mula bercuti sempena Aidilfitri dan jumlah yang pulang beraya dijangka bertambah minggu ini.

"Dianggarkan lebih 6,000 daripada keseluruhan kira-kira 20,000 pekerja kebun dan ladang sayur di seluruh negara sudah mula bercuti dan jumlah dijangka meningkat. Ada pekerja bercuti sehingga dua bulan, malah biasa berlaku mereka yang pulang ke negara asal bercuti raya, ada yang terus tidak datang semula bekerja," katanya.

Lim Ser Kwee
Lim Ser Kwee

Menurut Ser Kwee, keadaan itu akan menyebabkan bekalan sayur berkurangan selepas Aidilfitri yang mendorong kenaikan harga antara 10 hingga 25 peratus.

"Sekarang bekalan cukup, malah berlebihan kerana cuaca panas menyebabkan sayur subur dan menjadi, selain permintaan kurang kerana Ramadan. Namun, kita risau faktor lebih 30 peratus pekerja kebun dan ladang bercuti sehingga dua bulan akan menyebabkan bekalan kurang selepas Aidilfitri dan berlaku kenaikan harga.

"Mengikut pengalaman tahun-tahun sebelum ini, harga sayur memang naik selepas seminggu Aidilfitri kerana tenaga pekerja tak cukup, selain permintaan melonjak semula selepas Ramadan. Kalau hujan berterusan pula, sayur rosak, harap tidak berlaku ketika musim Aidilfitri tahun ini," katanya.

Pada 14 Mac lalu, BH melaporkan Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, menjangkakan harga sayur meningkat sehingga 25 peratus mulai April ini sekiranya isu kuota pekerja asing terus membelenggu mereka.

Ia berikutan kekurangan pekerja asing yang kritikal masih dialami sektor berkenaan sehingga menjejaskan bekalan dan diburukkan dengan langkah kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac 2024.

Dalam laporan berkenaan, Ser Kwee dipetik menjangkakan bekalan mula terjejas pada April, manakala Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands menjangkakan 'bekalan lebih buruk pada Mei dan boleh berlarutan hingga Julai'.

Dengar keluhan

Dalam perkembangan berkaitan, Ser Kwee ketika ditanya mengenai langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanjutkan tarikh akhir permohonan Visa Panggilan/Visa Dengan Rujukan (VDR) kepada 21 April ini, berharap ia dapat menangani isu tenaga buruh kritikal dihadapi di lebih 2,000 ladang dan kebun sayur ketika ini.

Beliau berterima kasih kerana KDN serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendengar keluhan pelbagai sektor, termasuk pengeluar sayur berkait isu berkenaan dengan memberikan lanjutan tempoh untuk pemprosesan kuota pekerja asing.

"Ladang dan kebun sayur kurang antara 5,000 hingga 10,000 tenaga buruh lagi bagi memastikan bekalan sentiasa cukup, tiada gangguan. Realitinya, sektor pertanian sayuran bukan pilihan pekerja asing yang masuk ke negara ini, mereka lebih berminat bekerja sektor perkilangan dan perindustrian atau makanan dan minuman.

"Sektor pertanian pilihan terakhir tenaga buruh asing yang dibawa masuk ke Malaysia, yang mahu bekerja pula rata-rata berusia lebih 30-an kerana pekerja asing muda tak berminat kerja berat di ladang atau kebun.

"Isu ini sudah lama membelenggu sektor pertanian sayuran negara dan menyebabkan tenaga buruh tak pernah cukup. Itu belum termasuk pekerja lari, biasanya beri alasan ladang atau kebun tak sesuai dengan mereka," katanya.

Syor peraturan baharu

Sehubungan itu, Ser Kwee mencadangkan kerajaan memperkenalkan peraturan baharu yang lebih ketat bagi memastikan pekerja yang melarikan diri dan tidak kembali bekerja selepas permit diambil, disenarai hitam dan dilarang bekerja dalam mana-mana sektor lain di Malaysia.

"Ketika ini pekerja asing mudah melarikan diri kerana mereka pegang sendiri pasport, manakala majikan yang buat aduan pekerja lari, akan dikompaun," katanya.

Mengenai usaha menarik minat warga tempatan bekerja di ladang atau kebun sayur, beliau berkata, pernah gaji ditawarkan sehingga RM3,000 sebulan berdasarkan jam bekerja dan tugasan, terutama bagi menarik minat remaja keciciran sekolah serta Orang Asli, namun tidak berjaya.

Berita Harian X