Isnin, 8 April 2024 | 11:29am
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM730,000 dalam tiga serbuan berasingan di daerah Padang Terap dan menahan sembilan suspek untuk membantu siasatan. - Foto ZULIATY ZULKIFFLI
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM730,000 dalam tiga serbuan berasingan di daerah Padang Terap dan menahan sembilan suspek untuk membantu siasatan. - Foto ZULIATY ZULKIFFLI

Polis Kedah tahan 9 lelaki, rampas syabu dan daun ketum bernilai RM730,000

ALOR SETAR: Polis menahan sembilan lelaki termasuk seorang lelaki warga Thailand yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu dalam tiga serbuan berasingan di daerah Padang Terap, di sini pada 4 dan 6 April lalu.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu seberat lebih 20 kilogram (kg) dan 130 kg daun ketum yang dianggarkan bernilai lebih RM730,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam kejadian 4 April lalu, kira-kira jam 10.30 malam, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 52 tahun di Kampung Lamdin, Naka.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan menemui beg galas yang mengandungi bungkusan plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan berat 18 kg bernilai lebih RM651,600.

"Pada pemeriksaan itu, pihak narkotik turut merampas sebuah kenderaan BMW 320i untuk membantu siasatan.

"Suspek ditahan dan direman selama tujuh hari sehingga 11 April ini untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Fisol berkata, dalam serbuan kedua pada jam 11 malam, pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah rumah juga di kawasan Kampung Lamdin dan menahan enam lelaki berusia antara 26 hingga 39 tahun dan merampas 22.90 gram dadah jenis syabu.

Beliau berkata, turut dirampas, alatan untuk menghisap syabu.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan di rumah itu mendapati, terdapat tempat pengumpulan daun ketum sebanyak 130 kg yang disyaki digunakan oleh penagih tempatan.

"Jumlah dadah yang dirampas dalam serbuan kedua adalah sebanyak RM7,719," katanya.

Dalam serbuan pada Sabtu lalu, Fisol berkata, satu serbuan dilakukan di sebuah stesen minyak di Kampung Padang Kerasak.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun ditahan polis.

"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg yang dicampak oleh kedua-dua suspek itu menemui satu bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan kristal syabu dan bungkusan plastik lutsinar berisi dadah syabu yang dianggarkan seberat lebih dua kilogram bernilai RM74,160.

Beliau berkata, lapan daripada suspek didapati positif dadah dan ada di antara mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau.

"Semua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, Fisol berkata, rampasan dadah jenis syabu itu agak besar dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Berita Harian X