Ahad, 7 April 2024 | 10:18pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Denggi di Johor meningkat, kedua tertinggi selepas Selangor

JOHOR BAHRU: Kes demam denggi di Johor terus menunjukkan trend peningkatan apabila 4,848 kes dilaporkan secara kumulatif sehingga Minggu Epid ke-13 (sehingga 30 Mac), berbanding 1,907 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon, berkata ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2,941 kes.

Katanya, jumlah lapan kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding dua kematian bagi tempoh yang sama tahun 2023.

"Jumlah terkumpul lokaliti wabak adalah sebanyak 737 berbanding 229 bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 508 lokaliti.

"Johor kini merupakan negeri kedua yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi di peringkat kebangsaan selepas Selangor.

"Johor juga adalah negeri tertinggi melaporkan kematian akibat komplikasi denggi di Malaysia iaitu dengan lapan kematian. Peningkatan kes denggi akan secara langsung memberi kesan kepada bilangan kematian denggi.

"Situasi itu juga berkait rapat dengan bebanan yang dihadapi oleh pihak hospital. Oleh itu, bagi mengurangkan insiden kematian ini, aktiviti kawalan dan pencegahan perlu dipergiatkan bagi mengurangkan kes demam denggi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tian Soon, musim perayaan menyebabkan pergerakan masyarakat meningkat seterusnya meningkatkan risiko berlakunya peningkatan jangkitan demam denggi.

Katanya, langkah pencegahan perlu dilakukan agar rumah bebas nyamuk denggi.

"Peranan membendung kes denggi bukan hanya terletak kepada Jabatan Kesihatan semata-mata, tetapi perlu membabitkan kerjasama daripada pelbagai jabatan, agensi, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, dan masyarakat awam termasuk sukarelawan MyCHAMPION COMBI.

"Penglibatan holistik dan komprehensif ini dapat mengurangkan penularan penyakit demam denggi ke tahap yang minimum sehingga penyakit denggi bukan lagi ancaman kepada kesejahteraan rakyat.

"Terdapat lima kategori premis tertinggi mencatatkan peratus pembiakan positif nyamuk Aedes perlu diberi perhatian iaitu tanah lot kosong, taman permainan/rekreasi, projek rumah terbengkalai, tapak binaan dan tanah perkuburan," katanya.

Berita Harian X