Ahad, 7 April 2024 | 3:52pm
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood.

'Isu beras, biar menteri saja yang jawab' - Azman

KUALA LUMPUR: "Biar menteri saja yang jawab," itu komen Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berhubung dakwaan badan itu takut untuk mengambil tindakan terhadap kartel industri beras, sehingga berlaku masalah kekurangan beras putih tempatan (BPT) dalam pasaran.

Susulan itu, Azman berkata, tidak perlu untuk beliau menjawab dakwaan Pengerusi Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berhubung perkara itu.

"Biarlah beliau (Syed Abu Hussin Hafiz) buat komen. Bagi saya, biar menteri saja yang jawab... konsisten," katanya merujuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Semalam, Syed Abu Hussin berkata, NACCOL percaya tidak timbul isu sabotaj pengedaran bekalan beras di negara ini jika Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara mengambil tindakan tegas terhadap kartel industri terbabit.

Beliau mendakwa, rasa takut untuk mengambil tindakan terhadap kartel itu menyebabkan rakyat menjadi mangsa manipulasi, sedangkan negara mengeluarkan 60 peratus beras berbanding hanya 40 peratus beras import.

Media sebelum ini melaporkan, BPT masih tidak kelihatan dalam pasaran, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan stok bekalan barang keperluan itu diedarkan ke seluruh negara.

Pada 20 Mac lalu, mesyuarat NACCOL dipengerusikan Perdana Menteri memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu beras.

Antara tindakan, kerajaan mengarahkan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses serta dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.

Berita Harian X