Ahad, 7 April 2024 | 12:07pm
Lebih 2,000 menyertai Majlis Iftar Santai Bersama Keluarga @Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), petang semalam. - FB AB RAUF YUSOH
Lebih 2,000 menyertai Majlis Iftar Santai Bersama Keluarga @Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), petang semalam. - FB AB RAUF YUSOH

KM Melaka sertai lebih 2,000 pengunjung berbuka santai di Dataran MBMB

MELAKA: Lebih 2,000 individu menyertai Majlis Iftar Santai Bersama Keluarga @Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, petang semalam.

Program turut disertai Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Penduduk dari Alor Gajah, Mohamad Zaki Hamid, 42, berkata dia datang bersama keluarga untuk merasai pengalaman berbeza ketika berbuka.

"Suasana damai kerana dataran yang indah, selesa dan luas, selain ada kolam dan air pancut serta hamparan rumput yang menghijau. Program ini juga menyuburkan ikatan kekeluargaan dan menyemai semangat kejiranan kerana pengunjung dapat saling berkenalan.

"Malah pengunjung dapat beramah mesra, bergambar dengan Ketua Menteri Melaka. Ia kenangan terindah buat kami sekeluarga," katanya.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (berdiri kanan) menyantuni pengunjung Majlis Iftar Santai Bersama Keluarga @Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Ayer Keroh, petang semalam. - NSTP/NAZRI ABU BAKAR

Pengunjung berbuka dengan pelbagai juadah, makanan dan minuman disediakan sebelum menunaikan solat di surau yang selesa.

Bagi Najmi Kamardin, 35, dia gembira dapat menyerai ramai penduduk pelbagai peringkat usia yang hadir program berbuka itu.

"Ada taman permainan berhampiran untuk kanak-kanak yang hadir di dataran ini yang dihiasai pemandangan indah dengan adanya lampu hiasan pelbagai warna," katanya.

Berita Harian X