Ahad, 7 April 2024 | 11:17am
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) menyantuni pengunjung Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 selepas merasmikan bazar Aidilfitri di Jalan Hang Tuah itu, malam tadi. - FB AB RAUF YUSOH
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah) menyantuni pengunjung Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 selepas merasmikan bazar Aidilfitri di Jalan Hang Tuah itu, malam tadi. - FB AB RAUF YUSOH

Melaka syor gabung 3 bazar Aidilfitri terbesar mulai 2025, operasi berpusat di Banda Hilir

MELAKA: Kerajaan Melaka bercadang membuka satu kawasan di Banda Hilir bagi penganjuran bazar Aidilfitri berpusat mulai tahun depan, sekali gus menjadi ikonik baharu tarikan pelancongan ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata jajaran baharu yang dicadangkan akan meliputi Jalan Jonker sehingga 'Pahlawan Walk' yang menyediakan ruang niaga lebih besar, selain gah dan menarik.

"Menerusi kaedah ini, bazar Aidilfitri di Jalan Hang Tuah, Klebang dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan digabungkan di satu lokasi sebagai bazar terbesar di negeri ini.

"Kita bercadang tidak membuka bazar di tiga lokasi seperti sebelum ini, tetapi penganjuran bazar Aidilfitri digabungkan supaya penjanaan ekonomi di kawasan baharu itu lebih berkembang," katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Grand Ramadan Bazar (MELGRAB) 2024 di Jalan Hang Tuah yang turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Ibrahim Durum, malam tadi.

Ab Rauf berkata, penganjuran bazar berpusat di kawasan tumpuan strategik juga secara tidak langsung akan membantu peniaga-peniaga dan juga kompleks beli-belah di kawasan berkenaan berkembang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, perkara itu masih di peringkat kajian dan pihaknya sedang menilai kejayaan penganjuran bazar yang diadakan sebelum ini.

"Selain itu, tender penganjur juga akan dibuka kepada sesiapa sahaja yang memberi nilai tambah yang baik kepada pihak berkuasa tempatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X