Sabtu, 6 April 2024 | 4:24pm
Pengurus Besar Kewangan POPULAR, Jennifer Kok; penceramah bebas, Syamsul Debat dan Pengarang Berita (Rencana dan Agama) BH, Mohd Nazmi Yaakub (berdiri tengah belakang) bersama anak-anak yatim daripada beberapa rumah kebajikan dan wakil penerbit di Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan@Popular sempena BookFest@ Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

POPULAR terus santuni golongan memerlukan menerusi kempen Ramadan@POPULAR

KUALA LUMPUR: Sempena Ramadan tahun ini, kedai buku Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR) sekali lagi tampil meneruskan tanggungjawab sosialnya menerusi kempen Ramadan@POPULAR bagi membantu golongan memerlukan.

Pengurus Besar Kewangan POPULAR, Jennifer Kok berkata program bertujuan menggalakkan orang ramai untuk lebih banyak membaca dan beramal, selain mengajak pelanggan melakukan kebaikan dengan membeli sambil menderma.

Beliau berkata 10 peratus daripada hasil jualan kempen berkenaan akan disalurkan kepada rumah kebajikan terpilih manakala 10 peratus rebat lagi akan dinikmati pelanggan POPULAR.

Katanya, sebanyak 454 tajuk tersenarai dalam kempen berkenaan dengan jumlah jualan menghampiri 100,000 naskah di semua buku POPULAR dan HARRIS di seluruh negara pada tahun ini.

Pengurus Besar Kewangan POPULAR Malaysia, Jennifer Kok di Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan @ Popular sempena Book Fest @ Malaysia 2024 di Hall 1 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

"Saya bersyukur kerana sepanjang kempen Ramadan@POPULAR selama 15 tahun ini, kita berjaya mengumpul RM2.5 juta dan ia sudah disumbangkan kepada 264 rumah kebajikan dengan ada antaranya yang menerima sumbangan lebih sekali.

"Hanya empat penerbit dan penaja yang menyertai peringkat awal pelaksanaan dahulu. Namun selepas 15 tahun, kini ia meningkat kepada 32 penerbit dan penaja menjayakan kempen ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Agihan Sumbangan Ramadan @ POPULAR 2024 di sini hari ini.

Pada majlis sama, POPULAR turut berkongsi manfaat kempen berkenaan bersama 23 rumah kebajikan terpilih dengan setiap daripadanya menerima sumbangan bernilai RM10,310.87 yang disampaikan oleh Jennifer.

Selain itu 40 penghuni daripada tiga rumah anak yatim menerima sumbangan duit raya daripada Jennifer; Pengarang Berita BH (Rencana dan Agama), Mohd Nazmi Yaakub dan penceramah bebas, Syamsul Debat.

Sementara itu, Jenifer berkata, Ramadan@Popular kini menjadi kempen begitu besar dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Idea asal kempen ini bermula dengan perbincangan awal mengenai hasrat POPULAR menyumbangkan sesuatu bermanfaat kepada masyarakat, bersama beberapa wakil penerbit.

"Hasilnya, lahirlah kempen Ramadan @ POPULAR dengan tema 'Membaca: Beribadah Sambil Beramal," katanya.

Untuk maklumat lanjut dan tawaran menarik, layari laman web www.popular.com.my atau halaman Facebook rasmi POPULAR Malaysia, atau muat turun Aplikasi POPULAR MY.

Suasana di Book Fest @ Malaysia 2024 di Hall 1 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Suasana di Book Fest @ Malaysia 2024 di Hall 1 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Berita Harian X