Sabtu, 6 April 2024 | 2:56pm
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. - Foto NSTP
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. - Foto NSTP

Kartel padi: Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara jangan beri alasan takut

SUNGAI PETANI: Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) percaya tidak timbul isu sabotaj pengedaran bekalan beras di negara ini sekiranya Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara mengambil tindakan tegas terhadap kartel industri terbabit.

Pengerusi Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata rasa takut untuk mengambil tindakan terhadap kartel terbabit menyebabkan rakyat menjadi mangsa manipulasi sedangkan negara mengeluarkan 60 peratus beras berbanding hanya 40 peratus beras import.

"Tak mungkin berlaku sabotaj (tiada langsung pengedaran beras) kerana mereka perlu patuhi undang-undang, kalau stok beras ada tapi tukar kampit (label beras import) ambil lah tindakan denda dan sebagainya.

"Kawal Selia Padi dan Beras Negara jangan beri alasan takut, itu lah tujuannya kalau kita takut melaksanakan undang-undang maka rakyat akan jadi mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin mendakwa, kartel terbabit adalah empat syarikat besar yang mengawal 80 peratus pengedaran beras di Malaysia.

Katanya, Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara perlu telus untuk memberi pendedahan kepada rakyat membabitkan jumlah pengedaran beras syarikat terbabit termasuk harga beras putih import (BPI) yang berada di pasaran.

"Dalam mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini beliau mengumumkan penurunan harga sebanyak RM2 hingga RM3 tetapi tidak ada sebarang penjelasan yang jelas kepada rakyat daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara.

"Bahagian itu perlu jelaskan harga sebenar BPI antara berapa ringgit, rakyat masih keliru dengan harganya, saya minta bahagian ini beri jawapan segera termasuk rekod di mana pergi BPT, berapa kampit BPT dan BPI diedarkan.

"Jangan beri alasan menyebut laporannya hanya diberikan kepada menteri dan agensi tertentu sahaja, ini bukan rahsia, maklumat ini yang patut rakyat tahu, jangan susahkan Perdana Menteri, beliau buat keputusan berdasarkan jaminan Ketua Pengarah bahagian berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Mesyuarat NACCOL dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Mac lalu memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu beras.

Antara tindakan itu ialah kerajaan mengarahkan supaya semua stok semasa padi dan beras yang dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses serta dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan serta-merta.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood sebelum ini memberi jaminan 14 juta kampit BPT berharga RM26 untuk 10 kilogram (kg) akan berada di pasaran pada bila-bila masa.

Bagaimanapun dilaporkan sehingga kini BPT masih tiada di pasaran.

Berita Harian X