Sabtu, 6 April 2024 | 2:01pm
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. NSTP/ Noorazura Abdul Rahman
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. NSTP/ Noorazura Abdul Rahman

'Saya belum terima surat daripada BERSATU, sedia hadapi sebarang kemungkinan selepas ini'

SUNGAI PETANI: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan itu yang akan diputuskan pucuk pimpinan BERSATU selepas ini.

Beliau berkata, sehingga kini beliau masih menunggu surat daripada parti selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan BERSATU bagi pelucutan keahlian wakil rakyat susulan tindakan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap bertentangan dengan pendirian parti.

"Kita tenang sebab kita tahu kita memang ahli parti dan perlu tunggu surat itu. Saya nak tengok surat itu dulu, selepas itu baru kita boleh buat kenyataan lebih jelas.

"Sebagai ahli politik, selain berkhidmat kepada rakyat, kita juga bersedia apa pun yang akan berlaku, tetapi kita nak tengok apa jawapan (pucuk pimpinan BERSATU) dulu," katanya selepas meninjau Program Jualan Termurah Madani di Bandar Perdana di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Seri Johari Abdul dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Selasa lalu, ROS meluluskan pindaan Perlembagaan BERSATU yang dipinda selepas diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata kelulusan itu membolehkan parti mengambil langkah seterusnya, iaitu mengosongkan enam kerusi Parlimen untuk diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Anwar iaitu Syed Abu Hussin Hafiz, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac pula, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, sehingga kini beliau tidak berhubung atau dihubungi Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang lanjut berhubung perkara itu.

Berita Harian X