Sabtu, 6 April 2024 | 1:13pm
Foto FB Zahid Hamidi
Foto FB Zahid Hamidi

Jaga keselamatan diri, keluarga dalam keterujaan balik kampung - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menitip pesanan kepada rakyat khususnya umat Islam yang akan meraikan Aidilfitri, untuk menjaga keselamatan diri serta ahli keluarga terutama ketika perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat untuk memastikan segala persiapan seperti penyelenggaraan kenderaan dan perancangan perjalanan mereka, dilakukan dengan sewajarnya.

"Saya berharap dalam keterujaan semua untuk bertemu dengan ibu bapa dan sanak saudara, janganlah kita lupa akan keselamatan diri dan ahli keluarga.

"Pastikan juga segala persiapan seperti penyelenggaraan kenderaan dan perancangan perjalanan telah dilakukan dengan sewajarnya. Pandulah dengan berhemah dan berhati-hati serta berhenti berehat sekiranya perlu," katanya.

Ahmad Zahid juga berharap Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh kegembiraan dan keceriaan buat seluruh umat Islam yang meraikan lebaran ini.

Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan memaklumkan tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Selasa ini (9 April) di 29 lokasi di seluruh negara, diikuti dengan pengisytiharan tarikh Hari Raya pada malam hari yang sama. – BERNAMA

Berita Harian X