Sabtu, 6 April 2024 | 11:14am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tiga kawasan perindustrian berteknologi tinggi baharu di Melaka

MELAKA: Komitmen Melaka untuk membangunkan sektor industri berteknologi tinggi akan menarik lebih banyak pelaburan dan memperluas ekosistem sektor berkenaan di negeri itu.

Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Jaibalan Harirajan, berkata pembangunan tiga lagi kawasan perindustrian baharu iaitu MCORP Hi TechPark, German Technology Park dan Elkay 2.0 misalnya, dilihat sebagai usaha kerajaan negeri untuk terus memperhebat inisiatif menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.

"Menerusi pembangunan tiga kawasan perindustrian baharu itu, Melaka dilihat mengambil peluang untuk menyerap inisiatif dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam tempoh berbaki kira-kira enam tahun ini," katanya.

NIMP 2030, komponen utama rangka kerja Ekonomi MADANI bertujuan memacu Malaysia sebagai peneraju global dalam pembangunan perindustrian, memperluaskan hubungan domestik untuk mewujudkan kekayaan di seluruh negara serta mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global.

Pelan induk itu menggunakan pendekatan berasaskan empat misi untuk memacu transformasi industri pada skala besar iaitu memajukan ekonomi, membina negara berdaya maju dalam teknologi, mendorong ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan membina ekonomi berdaya tahan.

Jaibalan berkata, bagi menyokong pembangunan tiga kawasan perindustrian itu, sejumlah RM4 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan kepada Melaka bagi melakukan kajian dan kerja berkaitan bagi memastikan ia sesuai melaksanakan aktiviti terkandung dalam NIMP 2030 dan alam sekitar.

Selain membuka peluang pelaburan, beliau berkata, NIMP 2030 yang berteraskan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), diyakini mampu membantu usaha kerajaan negeri meningkatkan pendapatan rakyat.

"Di bawah ESG ini juga, antara perkara digariskan termasuk penggunaan tenaga lebih efisien seperti solar, tiada lagi syarikat yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar, 'automasi pintar' dan kecerdasan buatan (AI).

"Menerusi gabungan perkara ini, ia akan memberi nilai tambah yang tinggi bukan saja kepada syarikat pelabur, malah kepada rakyat serta negeri itu sendiri," katanya.

Dalam menuju ke arah industri berteknologi tinggi juga, Jaibalan berkata, Melaka mampu membekalkan tenaga mahir menerusi Pusat Kecemerlangan Melaka bagi menyokong keperluan industri, selain meningkatkan pembangunan modal insan dalam peluang pekerjaan.

Beliau berkata, menerusi pusat berkenaan, pelajar daripada pelbagai peringkat mahupun individu sedang bekerja, boleh mendapat latihan jangka pendek khususnya berkaitan teknologi baharu, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menempuh alam perindustrian berteknologi tinggi.– BERNAMA

Berita Harian X