Sabtu, 6 April 2024 | 9:38am
KKM nasihat orang ramai lakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakan Aedes.
KKM nasihat orang ramai lakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakan Aedes.

Kematian akibat denggi meningkat 58 peratus, Selangor catat lokaliti hotspot tertinggi

KUALA LUMPUR: Jumlah kematian akibat demam denggi bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini meningkat 58 peratus berbanding tahun lalu, dengan Selangor merekodkan lokaliti 'hotspot' denggi paling tinggi.

Terkini, tiga lagi kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 iaitu antara 24 hingga 30 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata sejumlah 2,579 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 berbanding 3,041 kes pada minggu sebelumnya.

"Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-13 adalah sebanyak 44,144 kes berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

"Terdapat 31 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 18 kematian bagi tempoh sama tahun lalu," katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejumlah 135 lokaliti hotspot dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 dengan Selangor paling tinggi membabitkan 114 lokaliti.

Selain itu, 10 lokaliti lagi dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, diikuti lima di Pulau Pinang, empat di Sembilan dan dua di Kedah.

Bagi survelan chikungunya, katanya, tiada kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-13 dengan kumulatif 13 kes sehingga kini.

Mengenai survelan zika pula, beliau berkata sejumlah 621 sampel darah dan satu sampel urin dijalankan saringan, namun hasil semuanya negatif.

Perbandingan kes dan kematian demam denggi - Ihsan KKM
Perbandingan kes dan kematian demam denggi - Ihsan KKM

Dr Muhammad Radzi turut mengingatkan orang ramai memastikan persekitaran premis bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes, terutama dengan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga Mei 2024.

Fasa ini, katanya akan menyaksikan negara menerima tiupan angin lemah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang.

"Keadaan ini menyebabkan takungan air boleh terjadi terutama dalam bekas takungan buatan manusia di persekitaran dan mampu menarik nyamuk Aedes untuk membiak.

"Justeru, lakukan aktiviti cari dan musnah tempat berpotensi pembiakan Aedes dengan melupus atau mengitar semula bekas berpotensi pembiakan Aedes dalam dan luar rumah secara berjadual, sekurang kurangnya 10 minit sekali seminggu.

"Cuci dan sental bekas yang menakung air sehingga bersih serta menutup rapat semua bekas penyimpanan air atau masukkan bahan pembunuh jentikjentik mengikut sukatan yang disyorkan pada label," katanya.

Berita Harian X