Jumaat, 5 April 2024 | 6:58pm
Anwar mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Program Bubur Lambuk Madani di Kubang Semang. - NSTP/Danial Saad
Anwar mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Program Bubur Lambuk Madani di Kubang Semang. - NSTP/Danial Saad

Sibuk, jadual padat tidak halang Anwar pulang jenguk 'orang kampung'

PERMATANG PAUH: Meskipun dalam kesibukan dan mempunyai jadual yang padat, ia tidak menjadi penghalang bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang menyantuni rakyat Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat perjuangan reformasi suatu ketika dahulu.

Perdana Menteri mengambil masa selama 30 minit beramah mesra sambil meninjau Jualan Termurah Madani Barangan Basah dan Kering yang menawarkan pelbagai produk makanan asas utama seperti ayam, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, barang kawalan dan runcit yang dijual pada harga murah.

Pada masa sama, Presiden PKR Itu turut meluangkan masa mengacau dan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai sebelum meninggalkan majlis untuk bergerak ke Bazar Ramadan Seberang Jaya.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Anwar (kanan) bergotong-royong bersama penduduk memasak bubur lambuk sempena Program Bubur Lambuk Madani di Kubang Semang. - NSTP/Danial Saad
Anwar (kanan) bergotong-royong bersama penduduk memasak bubur lambuk sempena Program Bubur Lambuk Madani di Kubang Semang. - NSTP/Danial Saad

Sementara itu, pengunjung Hanafi Baharom, 45, berkata dia tidak melepaskan peluang untuk membeli keperluan sempena menyambut Aidilfitri.

"Selain dapat bersemuka dengan pemimpin negara, kita juga tidak lama lagi nak menyambut hari raya.

"Maka, saya ambil kesempatan untuk datang dan membeli sedikit barang keperluan yang ia jauh lebih murah dari harga pasaran.

"Saya berharap program sebegini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa sehingga harga barangan dapat distabilkan," katanya.

Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Huda, Sungai Ara di Bayan Lepas dan menghadiri Taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Beliau kemudian akan mengakhiri lawatan kerja seharinya di Pulau Pinang dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani di Pusat Islam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh.

Anwar mengaminkan doa ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas, hari ini. - NSTP/Mikail Ong
Anwar mengaminkan doa ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Huda, Sungai Ara, Bayan Lepas, hari ini. - NSTP/Mikail Ong

Berita Harian X