Jumaat, 5 April 2024 | 6:01pm
Zambry pada Pengumuman Dividen Simpanan SSPN 2023 di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. - Foto NSTP/Saifullizam Tamadi
Zambry pada Pengumuman Dividen Simpanan SSPN 2023 di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. - Foto NSTP/Saifullizam Tamadi

PTPTN umum dividen Simpan SSPN 3.60 peratus

PUTRAJAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2023 sebanyak 3.60 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM357.65 juta

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ia akan memberi manfaat kepada 6.25 juta pendeposit akaun Simpan SSPN.

Menurutnya, jumlah keseluruhan agihan dividen adalah RM1.69 bilion.

Pemberian dividen 3.60 peratus bagi 2023 lebih tinggi berbanding agihan sebanyak 3.05 peratus pada 2022 sejak diperkenalkan pada 2004.

Katanya, pemberian dividen lebih tinggi ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum kepada pelanggan.

"Pemberian dividen tinggi ini disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan pelaburan deposit bagi tahun 2023 berjumlah RM446.22 juta," katanya pada sidang media Pengumuman Dividen SSPN 2023 di kementeriannya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Pembayaran dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata masing-masing melalui aplikasi myPTPTN bermula esok.

Pada 2023, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM3.15 bilion, manakala 513,002 akaun baharu turut direkodkan.

Zambry berkata, peningkatan kadar dividen ini bersesuaian dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman Bank Negara yang meningkat 0.25 peratus pada tahun lalu.

Katanya, bagi jumlah keseluruhan deposit terkumpul Simpan SSPN sejak 2004 sehingga 31 Disember 2023 adalah berjumlah RM17. 39 bilion melibatkan 6.25 juta akaun.

"Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan dan sokongan pendeposit kekal utuh berterusan," katanya.

Berita Harian X