Jumaat, 5 April 2024 | 6:01pm
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar
Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

300,000 al-Quran terjemahan dicetak, diedar ke beberapa negara sejak 2023

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) – Sebanyak 300,000 naskhah al-Quran terjemahan dalam pelbagai bahasa telah diedarkan ke beberapa negara oleh kerajaan sejak inisiatif mencetak satu juta naskhah kitab suci itu dilaksanakan awal tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah itu 200,000 naskhah telah dicetak dengan terjemahan bahasa Inggeris, manakala selebihnya dalam bahasa lain seperti bahasa Sweden, Mandarin, Khmer dan Perancis.

"Setakat ini, Alhamdulillah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Restu, 300,000 naskhah terjemahan al-Quran pelbagai bahasa telah dicetak sebagai tindak balas terhadap pembakaran kitab suci umat Islam itu di Sweden tahun lepas.

"Antara negara yang sudah kita hantar terjemahan al-Quran ialah England, Tanzania, Afrika Selatan, Kanada, Australia dan New Zealand," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Nota Rohani terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Pada Januari 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia akan mengeluarkan satu juta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap insiden membakar kitab suci umat Islam itu di Sweden.

Mohd Na'im juga berkata pihaknya menyasarkan keseluruhan baki naskhah yang akan dicetak, diedarkan menjelang hujung tahun ini.

Justeru, beliau berharap supaya orang ramai terlibat dalam mewaqafkan kitab suci itu dengan jumlah RM38 senaskhah dalam memastikan misi itu dicapai.

– BERNAMA

TAGS: al-Quran, Waqaf, JAKIM, Yayasan Restu, Mohd Na'im

Berita Harian X