Jumaat, 5 April 2024 | 4:19pm
Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo. - Foto Fail NSTP
Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo. - Foto Fail NSTP

Jasmine Loo akui terima RM100 juta dari Jho Low

KUALA LUMPUR: Saksi penting kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo mengakui menerima RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai hadiah walaupun selepas meninggalkan syarikat terbabit.

Loo yang meletak jawatan daripada 1MDB pada 2013, berkata beliau menerima wang berkenaan pada 2014 dan menyimpannya sebagai amanah, bagaimanapun berakhir sebagai benefisiari (penerima).

Disoal peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, apakah alasan Jho Low memberikan wang itu kepadanya atas kapasiti sebagai penasihat undang-undang 1MDB, Loo menjawab beliau memegangnya sebagai amanah.

Saksi itu kemudian mengakui bahawa ia kemudian berakhir sebagai benefisiari iaitu hadiah kepadanya.

Loo turut memberi keterangan bahawa beliau menyimpan AS$4.5 juta yang didepositkan oleh Jho Low dalam akaunnya bagi pembelian sebuah patung, bagaimanapun (pembelian) itu akhirnya tidak dilakukan.

Menurut Loo, beliau ketika itu bertindak sebagai orang tengah dalam dalam urusan (pembelian) itu kerana Jho Low memintanya mendapatkan patung bernilai AS$4.5 juta untuk dihadiahkan kepada kerabat Arab Saudi, Putera Faisal Turki Al Saud.

Saksi itu berkata, bagaimanapun urusan pembelian itu gagal kerana Jho Low berubah fikiran dan wang berkenaan kekal dalam akaunnya kerana Jho Low tidak memberikan sebarang jawapan mengenai wang itu.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa beliau menyimpan wang berkenaan kerana ia dibayar untuk 'kerja' (untuk Jho Low) yang dilakukannya.

Loo juga mengesahkan beliau menilai semula pendapatannya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kini sedang membayar balik cukai ke atas semua lebihan pendapatannya.

Saksi itu berkata, beliau memulakan rundingan dengan LHDN pada 2020 dan 2021 sebelum kembali ke Malaysia, membabitkan pembayaran balik lebihan pendapatan berjumlah RM2.5 juta.

Berita Harian X