Jumaat, 5 April 2024 | 2:53pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Jasmine Loo nafi bersekongkol tipu Najib

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo menafikan dakwaan beliau bersekongkol dengan pasukan pengurusan tertinggi syarikat pelaburan strategik negara itu untuk menipu Datuk Seri Najib Razak.

Loo yang pernah menghilangkan diri selama lima tahun dan dikehendaki pihak berkuasa negara berhubung skandal kewangan 1MDB, berkata adalah mustahil baginya untuk menentang Najib yang ketika itu perdana menteri dan menteri kewangan.

"Ia ibarat menggali kubur saya sendiri," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair pada sesi pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB dihadapi Najib.

Nair menyoal saksi itu sama ada beliau bersekongkol dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi seperti dinyatakan pembelaan.

Di awal prosiding hari ini, Loo tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa beliau adalah ahli dipercayai oleh 'kumpulan penipu' yang bersubahat untuk menyeleweng wang 1MDB.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee, bahawa oleh kerana menjadi orang yang dipercayai, dia dibenarkan untuk mengada-adakan atau menghalalkan semua dokumen yang tidak sah membabitkan transaksi 1MDB.

Prosiding hari ini juga mendengar bagaimana Loo masuk secara haram ke Myanmar dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low membantunya sepanjang berada di negara itu di antara tahun 2019 dan 2023.

Muhammad Shafee mencadangkan, bahawa apabila skandal IMDB menjadi semakin besar, semua yang terbabit (termasuk saksi) lari bersembunyi, tetapi Jho Low, terus berhubung dan menyokongnya.

Katanya, sokongan itu bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga dengan pengaruhnya untuk menghalangnya (Loo)daripada ditahan, dan mengatur supaya saksi itu pergi ke Myanmar tanpa perlu mengecop pasport di imigresen dan lapangan terbang.

Loo bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, sebaliknya berkata, beliau diberitahu olehJho Low bahawa pasportnya akan dicop oleh tentera Junta Myanmar.

Katanya, beliau bagaimanapun berdepan masalah dengan tentera Myanmar apabila cuba masuk ke negara itu dengan pasport yang tidak dicop pada 2019 dan kemudian ditahan.

Menurutnya, beliau kemudian mendapatkan pasport palsu atas bantuan Jho Low yang berunding dengan pihak berkuasa Myanmar, dan membolehkannya masuk serta bebas bergerak dalam negara itu.

Loo memberi keterangan terhadap Najib, 70 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 April ini.

Berita Harian X