Jumaat, 5 April 2024 | 1:49pm
Pengarah Urusan, Kay's Steak & Lobster, Aizuddin Khalid dan Isteri, Athiqah Teo meraikan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad pada majlis iftar Kasih di Kay's Steak & Lobster, Putra Heights. Turut serta selebriti, Alif Satar. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah Urusan, Kay's Steak & Lobster, Aizuddin Khalid dan Isteri, Athiqah Teo meraikan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad pada majlis iftar Kasih di Kay's Steak & Lobster, Putra Heights. Turut serta selebriti, Alif Satar. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Kay's Steak & Lobster sedia hidangan eksklusif meraikan anak yatim, asnaf

KUALA LUMPUR: Tidak semua orang berkemampuan untuk menikmati hidangan mewah seperti udang kara dan stik atas kekangan beberapa faktor, namun Kay's Steak & Lobster bermurah hati berkongsi rezeki menyediakan juadah eksklusif itu kepada anak yatim dan asnaf untuk berbuka puasa.

Pengarah Urusan Kay's Steak Lobster, Aizuddin Khalid, berkata mengambil keberkatan Ramadan, pihak restoran mengambil inisiatif menjamu dan memberi peluang golongan itu menikmati juadah berkenaan.

Katanya, antara menu yang disediakan ialah Lobster Herbs Butter dan Tomahawk Steak iaitu hidangan eksklusif dan terkenal di restoran itu selain Nasi Briyani Lamb Shank yang disediakan hanya pada bulan Ramadan saja.

Pengarah Urusan, Kay's Steak & Lobster, Aizuddin Khalid dan Isteri, Athiqah Teo meraikan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad pada majlis iftar Kasih di Kay's Steak & Lobster, Putra Heights. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Pengarah Urusan, Kay's Steak & Lobster, Aizuddin Khalid dan Isteri, Athiqah Teo meraikan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad pada majlis iftar Kasih di Kay's Steak & Lobster, Putra Heights. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

"Memang niat kami untuk bagi mereka merasai sendiri pengalaman menikmati hidangan berkualiti tinggi yang disediakan di restoran ini, sama seperti apa yang pelanggan kami dapat.

"Jadi pada Ramadan kali ini, kami menjemput dan meraikan anak yatim serta asnaf merasai hidangan berkualiti dan enak ini. Ia juga sebagai tanda komitmen Kay's Steak & Lobster dalam menyokong masyarakat.

"Kay's Steak & Lobster berharap agar usaha ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan serta mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dalam masyarakat," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Kay's Steak & Lobster di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, selebriti terkenal yang juga duta jenama Kay's Steak & Lobster, Alif Satar. Pada majlis itu kira-kira 30 anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad dirai dan turut diberikan sumbangan duit raya.

Aizuddin berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan tradisi menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim pada setiap tahun sebagai satu budaya yang perlu dijaga dan tanggungjawab sosial korporat.

"Semua pihak juga disaran untuk melakukan tanggungjawab sosial ini kerana tidak rugi untuk bersedekah," katanya yang turut mempunyai empat restoran.

Sementara itu, wakil daripada rumah kebajikan Hussin Mohamad, berkata perkongsian rezeki dilakukan oleh pihak restoran secara tidak langsung dapat mengikat ikatan silaturahim yang lebih erat.

"Ada sebab Allah jadikan setiap orang itu berbeza-beza dengan tujuan untuk saling tolong-menolong dan bila perkara ini diambil berat, kehidupan akan menjadi lebih tenang," katanya.

Berita Harian X