Khamis, 4 April 2024 | 11:13pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Malaysia tawar diri Presiden Persidangan UN-Habitat

KUALA LUMPUR: Malaysia menawarkan diri untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2026 hingga 2029.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kementeriannya telah dipertanggungjawabkan untuk membuat segala persiapan bagi memastikan matlamat tersebut tercapai.

"Jemaah Menteri telah membuat ketetapan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewakili negara (bertanggungjawab) untuk pencalonan sebagai Presiden Persidangan UN-Habibat bagi penggal 2026 hingga 2029 itu.

"Jadi, kita akan mula membuat kerja persiapan agar dapat membantu meningkat dan mengangkat martabat Malaysia di pentas berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis iftar bersama media di sini malam ini.

UN-Habitat yang diberi mandat oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mempromosikan bandar dan pengurusan bandar yang mampan dari segi sosial dan alam sekitar dengan matlamat menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi untuk semua.

Sementara itu, Kor Ming berkata Anugerah Kecemerlangan Media KPKT (AkeMedia) 2024 yang dijadual berlangsung pada 8 November depan bakal menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM59,000.

Beliau berkata AkeMedia kali ini mempertandingkan lapan kategori merangkumi topik seperti perumahan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kebombaan, kemampanan bandar dan persekitaran hijau, pengurusan sisa pepejal dan kredit komuniti.

Antara kategori itu ialah Anugerah Khas YB KM (Anugerah Utama), Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal/Dalam Talian Terbaik dan Anugerah Penyiaran Radio Terbaik.

Turut dipertandingkan untuk penyertaan media bermula hari ini sehingga 16 September ialah Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik, Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik, Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Video Popular/Pilihan.

"KPKT memutuskan untuk meneruskan anugerah berprestij ini buat kali kedua selepas mendapat sambutan 365 penyertaan daripada pelbagai agensi media pada tahun lepas.

"Saya amat berpuas hati dengan hasil karyawan para peserta yang banyak membantu KPKT menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat yang ingin mengetahui hasil kerja kementerian serta agensi di bawahnya," katanya.

Selain itu, beliau berharap penganjuran anugerah itu dapat terus menyuntik semangat media dalam membantu kerajaan menangani isu-isu sensitif yang dibangkitkan pihak tertentu terutama yang boleh memecah-belahkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat berbilang kaum.

– BERNAMA

Berita Harian X