Khamis, 4 April 2024 | 3:30pm
Gambar fail - Sidang Dewan Rakyat
Gambar fail - Sidang Dewan Rakyat

Situasi semasa dorong PN gesa 6 Ahli Parlimen kosongkan kerusi

KUALA LUMPUR: Tindakan BERSATU mahu segera memaklumkan mengenai kekosongan kerusi bagi enam kerusi Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat, menunjukkan parti itu nekad menggugurkan enam wakil rakyat yang 'berpaling tadah' dan mahukan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan segera.

Tindakan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) itu jelas sekali ibarat sebagai 'alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan' atau 'genggam bara api biar sampai jadi abu'

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Kartini Aboo Talib, berkata kemelut dalaman BERSATU boleh dilihat sebagai kelebihan jika PRK diadakan semula.

Katanya, ada andaian yang berkemungkinan BERSATU dan PN boleh menang besar dengan majoriti besar kesan isu semasa yang berbangkit dalam kalangan masyarakat hidup di bawah Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Impak inflasi masih dirasai rakyat dengan kenaikan harga barang pengguna. Lihat saja harga kuih di pasar Ramadan 4 biji RM20, malah ada kuih raya dijual sebalang RM50.

"Ini semua menjadi motivasi untuk PN cuba mencari ruang dan kelebihan atas kekurangan yang dilihat membuka peluang baik," katanya kepada BH.

Beliau mengulas tindakan PN yang dilihat seolah-olah memaksa supaya PRK diadakan segera bagi mengisi enam kerusi Parlimen yang mana enam wakil rakyat parti itu kini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Tindakan BERSATU itu susulan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan Perlembagaan BERSATU yang dipinda pada Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.

Ditanya kewajaran PRK diadakan secara 'paksaan' itu katanya ini bukan soal wajar atau tidak, kerana jika ada kekosongan kerusi, mahu atau tidak mahu, PRK akan berlaku.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Muhammad Asri Mohd Ali, berpandangan dari segi moralnya mana-mana Ahli Parlimen yang mengambil sikap berbeza dengan parti, seharusnya mengosongkan kerusi mereka.

Ini kerana, katanya kerusi yang diwakili mereka adalah milik parti yang mana parti yang menamakan mereka sebagai calon dan rakyat memilih kerana parti, bukan calon.

"Mereka perlu menghormati kehendak Whip Parlimen kerana mereka bertanding atas tiket parti dan parti yang berkempen untuk mereka bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti.

"Tindakan menyokong parti berbeza walaupun tidak keluar parti adalah tindakan memesongkan fakta politik, yang mana jelas mereka menang kerana bertanding atas nama parti bukan secara peribadi," katanya.

Berhubung tindakan PN yang mahu segera kerusi enam wakil rakyat itu dikosongkan, katanya ia satu tindakan wajar lebih lagi pindaan perlembagaan BERSATU yang diluluskan ROS baru-baru ini dibuat khusus bagi menangani kumpulan yang beralih sokongan tetapi masih mengakui menjadi ahli parti.

"Saya faham, ada dua pendapat dalam isu ini, sama ada kerusi perlu dikosongkan atau sebaliknya, namun kita kena rujuk balik sebab apa pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat iaitu mahu menyekat budaya lompat parti.

"BERSATU sememangnya tidak mahu dari awal lagi memasukkan isu beralih sokongan atau tidak sependapat dengan Whip sebagai lompat parti atas kebimbangan akan bertentangan dengan Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

"Bagi mengatasi perkara itu, maka BERSATU pinda Perlembagaan parti supaya tindakan 'menyeberang' atau lompat parti ini tidak berlaku.

"Bagi saya pindaan yang dibuat BERSATU ini menguji pindaan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, sama ada melalui keputusan Speaker Dewan Rakyat atau mahkamah," katanya.

Mengenai kebimbangan PRK untuk enam kerusi akan membebankan kerana kos yang tinggi, katanya mengikuti prinsip demokrasi jika ada kekosongan perlu diadakan pilihan raya maka soal kewangan tidak wajar dibangkitkan.

Berita Harian X