Khamis, 4 April 2024 | 12:18pm

CMCF minta pengguna media sosial lebih bertanggungjawab

KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) meminta pengguna supaya menggunakan media sosial dengan lebih bertanggungjawab berikutan peningkatan penyebaran kandungan yang memudaratkan, jelik dan berbaur kebencian.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood, berkata lonjakan kandungan yang memudaratkan di media sosial adalah masalah yang semakin membimbangkan kerana ia memberi kesan kepada individu, komuniti, dan masyarakat.

Menurut Mediha, walaupun laman sosial mengubah cara komunikasi dengan menawarkan kepantasan dan keterhubungan yang efektif, mereka yang berniat jahat mengeksploitasinya untuk menyebarkan kandungan yang memudaratkan dan bersifat kontroversi.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood
Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood

Sebagai penyokong kawal selia kendiri dalam ekosistem digital, CMCF menegaskan keperluan untuk tindakan secara kolektif bagi menangani isu ini.

"Kami sangat bimbang dengan peningkatan kandungan yang direka semata-mata untuk membangkitkan kemarahan atau dijadikan tular melalui unsur sensasi yang sering kali mengabaikan adab dan kesopanan, serta berpotensi untuk membawa kesan yang memudaratkan dalam kehidupan sebenar.

"Adalah penting bagi pengguna media sosial untuk menggunakan pertimbangan dan bertanggungjawab dalam interaksi dalam talian mereka.

"Ia termasuklah menahan diri daripada berkongsi, menyebarkan semula, atau berinteraksi dengan kandungan yang memudaratkan, menjelikkan, dan berbaur kebencian.

"Menahan diri daripada berinteraksi dengan kandungan itu, pengguna dapat mengurangkan penyebaran naratif yang memudaratkan secara tidak sedar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mediha, CMCF turut menekankan kepentingan pemikiran kritis dan literasi media dalam mengemudi landskap digital.

Dengan membudayakan kesedaran terhadap taktik manipulasi yang digunakan pencipta kandungan yang berniat jahat, individu dapat membuat pilihan yang bermaklumat mengenai perilaku mereka dalam talian.

Apabila berhadapan dengan kandungan yang jelas provokatif, rasis, seksis, atau memudaratkan, pengguna berupaya untuk mengenal pasti bahawa ia adalah cubaan untuk membangkitkan wacana negatif dan boleh memilih untuk tidak terbabit dengannya.

Semua individu yang berhadapan dengan kandungan yang melanggar peraturan atau undang-undang digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam menanganinya.

"Jika kandungan itu melanggar garis panduan komuniti atau piawaian undang-undang, pengguna sangat digalakkan untuk melaporkannya segera kepada platform media sosial yang berkaitan untuk mengurangkan penyebarannya.

"Jika kandungan itu adalah suatu kesalahan jenayah atau mengancam keselamatan awam, pengguna digalakkan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan segera," katanya.

Tindakan segera dan tegas dapat menyumbang secara kolektif untuk mencipta persekitaran digital yang lebih selamat dan kondusif.

"Selain itu, CMCF menyeru golongan yang berkuasa dan berpengaruh untuk memberi contoh yang sebaiknya dalam mempromosikan penggunaan media sosial yang bertanggungjawab.

"Sebagai individu yang mempunyai pengaruh besar, mereka mempunyai peluang unik untuk membentuk wacana dalam talian secara positif.

"Kami menyeru mereka untuk menggunakan platform mereka untuk memperkuat mesej berkaitan toleransi, empati, dan pemikiran kritis, serta pada masa sama mengelak daripada menyokong atau menyumbang kepada kandungan yang memudaratkan.

"Menerusi usaha memperjuangkan dialog konstruktif dan interaksi yang beretika, mereka dapat memainkan peranan penting dalam memupuk budaya bertanggungjawab dan saling menghormati dalam dunia digital.

"CMCF menyeru pengguna media sosial untuk turut serta dalam usaha itu dengan menggunakan kewaspadaan, kepedulian, dan integriti dalam interaksi dalam talian mereka," katanya.

Berita Harian X