Khamis, 4 April 2024 | 12:03pm
Johari Abdul
Johari Abdul

'Saya masih belum dapat makluman daripada parti'

Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul setakat ini masih belum menerima sebarang pemakluman daripada BERSATU berhubung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu.

Justeru, Johari berkata, beliau tidak akan mengambil apa-apa langkah susulan keputusan itu berhubung dakwaan kononnya enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini, perlu mengosongkan kerusi mereka.

"Sehingga kini, saya tidak dapat sebarang surat atau apa-apa panggilan telefon, malah tiada sesiapa yang berjumpa saya untuk memaklumkan kelulusan ROS itu.

"Bagi saya, apa saja yang berlaku di luar Parlimen, itu di luar bidang kuasa saya. Pindaan perlembagaan BERSATU ini berlaku di luar Parlimen, jadi ia adalah hal parti dan permainan politik BERSATU. Saya pun tahu hal ini (kelulusan ROS) daripada media dan saya anggap tidak ada apa-apa yang berlaku sehingga ada pemakluman," katanya kepada BH, semalam.

Johari mengulas keputusan ROS yang meluluskan usul pindaan perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu.

Pindaan itu membabitkan pelucutan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Siar surat kelulusan

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang turut menyiarkan salinan surat kelulusan ditandatangani Pendaftar Pertubuhan, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, yang antara lain menyebut pindaan terbabit diluluskan dan boleh dikuatkuasakan mulai 1 April 2024.

Hamzah berkata, parti itu akan mengambil beberapa langkah susulan bagi memastikan segala tindakan selepas ini mengikut perlembagaan dan undang-undang.

Mengulas lanjut, Johari berkata, jika mendapat pemakluman berhubung keputusan ROS itu, beliau akan meneliti perincian pindaan itu satu persatu.

"Jika mereka (BERSATU) mempunyai kepentingan mengenainya, mereka akan maklum kepada saya, tetapi setakat ini, tiada dan ini seolah-olah menunjukkan mereka tidak berminat," katanya.

Pada 2 Mac lalu, BERSATU meluluskan pindaan perlembagaan parti itu dalam EGM, selepas perwakilan yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti.

Pindaan itu dilakukan selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkaf- peri Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berita Harian X