Khamis, 4 April 2024 | 9:40am
Mahmud Kechik, 60, dari Kampung Rhu Muda bersama objek pelik yang ditemui di Pantai Kelulut yang disahkan bukan muntah ikan paus melalui ujian makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli
Mahmud Kechik, 60, dari Kampung Rhu Muda bersama objek pelik yang ditemui di Pantai Kelulut yang disahkan bukan muntah ikan paus melalui ujian makmal Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - Foto NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Bukan muntah ikan paus

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengesahkan objek pelik yang ditemui di Pantai Kelulut bukan muntah ikan paus (ambergris).

Sebelum ini dilaporkan seorang warga emas, Mahmud Kechik, 60, dari Kampung Rhu Muda menemui objek pelik seberat lapan kilogram terdampar di Pantai Kelulut yang dipercayai muntah ikan paus.

Objek itu kemudian dibawa ke UMT untuk dianalisa secara makmal.

Pegawai Sains Pusat Penyelidikan Dalam Lapangan UMT, Asrul Azani Mahmood berkata tiga sampel diambil daripada objek itu untuk dianalisa.

"Hasil penelitian yang dijalankan menggunakan kaedah makmal mendapati kandungan objek itu tidak sama seperti muntah ikan paus.

"Objek itu mempunyai kandungan berlainan daripada muntah ikan paus malah ujian fizikal mendapati ia berbau hangit seperti getah apabila dibakar.

"Kami tidak boleh memastikan sumber asal objek itu tetapi ia sejenis polimer (plastik, getah) yang berasal dari daratan yang hanyut di lautan sebelum terdampar di pantai," katanya ditemui di Makmal Berpusat UMT, hari ini.

Tambahnya, sejak laporan mengenai penemuan objek itu dan kesediaan UMT membuat analisa tular di media sosial, banyak pihak yang tampil bersama sampel dipercayai muntah ikan paus ingin menjalani ujian dan analisa sama.

"Kami menerima lebih banyak sampel yang dipercayai muntah ikan paus dari seluruh negeri termasuk Johor, Sabah dan Sarawak," katanya.

Sementara itu, Mahmud berkata, dia menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka malah berasa puas hati kerana segala persoalan dan tanda tanya mengenai objek pelik yang ditemui itu akhirnya terjawab.

Berita Harian X