Rabu, 3 April 2024 | 3:56pm
Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - Foto NSTP/FARHAN RAZAK
Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - Foto NSTP/FARHAN RAZAK

Najib tak arah pengambilalihan Tanjong Energy - saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak tidak mengeluarkan arahan berhubung cadangan atau keputusan muktamad dalam pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) pada harga bidaan RM10.6 bilion oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi pendakwaan ke-50, Jasmine Loo dalam keterangannya berkata cadangan pengambilalihan Tanjong Energy adalah keputusan pengurusan tertinggi 1MDB selepas mengadakan rundingan dengan syarikat perbankan pelaburan global, sekuriti dan firma pengurusan pelaburan, Goldman Sachs.

Menurut Loo, Keputusan muktamad dibuat oleh Lembaga Pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu selepas diberi taklimat oleh pihak pengurusan, dan bukannya Najib yang ketika itu Menteri Kewangan, Perdana Menteri dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Loo berkata demikian ketika menjawab soalan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi pemeriksaan balas pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Disoal Muhammad Shafee sama ada anak guamnya menyatakan keputusan mengenai penagambilalihan itu adalah keputusan beliau, Loo menjawab, "Tidak, saya tidak percaya beliau berkata begitu."

Loo turut mengiyakan cadangan peguam bela bahawa Najib tidak membuat sebarang arahan mengenai pengambilalihan Tanjong.

Bagaimanapun katanya, beliau menyediakan resolusi pemegang saham dan menyerahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk mendapatkan kelulusan Najib.

Pada September 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi, Najib meluluskan cadangan 1MDB bagi pengambilalihan Tanjong Energy pada harga bidaan RM10.6 bilion pada Februari 2012.

Shahrol Azral berkata, beliau yakin Najib yang memegang portfolio Menteri Kewangan ketika itu, mengetahui butiran transaksi berdasarkan nota maklumat yang diberikan Jho Low melalui emel dan BlackBerry Messenger (BBM).

Katanya, 1MDB Energy Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1MDB mengambil alih TEHSB dan Najib menandatangani dokumen "Proposed Acquisition of The Entire Equity Interest TEHSB" bertarikh 9 Februari 2012, di atas kapasiti beliau sebagai pemegang 'Saham Khas' melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Berita Harian X