Rabu, 3 April 2024 | 3:03pm
Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman.
Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman.

Aplikasi telefon digodam, Fauzi minta abaikan mesej minta pinjam wang

Kuantan: Aplikasi WhatsApp pada telefon bimbit milik Penasihat PKR Pahang, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman, digodam pihak tidak bertanggungjawab, minggu lepas.

Fauzi berkata, kejadian itu berlaku selepas beliau menerima pautan menyertai satu majlis keagamaan, kononnya membabitkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum menyedari aplikasi WhatsApp miliknya digodam serta tidak boleh digunakan.

Beliau berkata, susulan kejadian itu ada dalam kalangan kenalan dan ahli keluarganya menerima pesanan kononnya beliau ingin meminjam wang daripada mereka dengan disertakan nombor akaun individu tidak dikenali.

"Saya menerima panggilan daripada mereka yang bertanyakan sama ada betul atau tidak saya ingin meminjam wang...saya cakap jangan bagi sebab (WhatsApp) kena godam.

"Ini bahaya minta duit satu hal, tekan pautan saya takut orang lain pula kena (godam), jadi saya nak pesan supaya semua berjaga-jaga dan jangan terpedaya," katanya ketika ditemui pemberita di Indera Mahkota di sini hari ini.

Fauzi yang juga Pengerusi MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku itu.

Dalam pada itu MyHSR Corp dalam kenyataan meminta orang ramai yang menerima mesej sedemikian daripada Fauzi, untuk mengabaikannya kerana ia adalah palsu.

Individu yang menjadi mangsa penipuan turut disaran melaporkannya segera kepada polis bagi membantu siasatan.

Berita Harian X