Rabu, 3 April 2024 | 10:31am
Muhammad Kamil (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim pada majlis berbuka puasa Peringkat Parlimen Tambun di Rumah Anak Yatim An-Nur Maisarah Chemor malam tadi. NSTP/L MANIMARAN
Muhammad Kamil (kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim pada majlis berbuka puasa Peringkat Parlimen Tambun di Rumah Anak Yatim An-Nur Maisarah Chemor malam tadi. NSTP/L MANIMARAN

78 anak yatim ceria terima sumbangan PM

IPOH: Sebanyak 78 anak yatim di Yayasan Amanah An-Nur Maisarah di Parlimen Tambun di sini, terharu menerima sumbangan tunai Aidilfitri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim, malam tadi.

Muhammad Kamil berkata, sumbangan itu diharap dapat menceriakan anak yatim terbabit menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan membuat persediaan menyambut lebaran.

"Sumbangan ini inisiatif dilakukan Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Tambun untuk terus menyantuni penduduk khususnya masyarakat yang menetap di kawasan ini.

"Kita pastikan ada bantuan yang diperuntukkan khusus untuk kelompok yang memerlukan. Contoh hari ini (malam tadi), kita ambil kesempatan menyantuni kelompok anak yatim dan asnaf, rumah kebajikan masyarakat dan insya-Allah semua segmen ini tidak akan diketepikan atau disisih," katanya pada majlis berbuka puasa di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Dr Fazillah Nordin.

Pada majlis itu, Muhammad Kamil bagi pihak Perdana Menteri, menyerahkan Kotak Rahmah berisi barangan keperluan asas kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Tambun.

Beliau berkata, sumbangan terbabit sebahagian daripada program Ziarah Kasih MADANI yang bermula tengah hari semalam bertujuan menyelami permasalahan rakyat dan berusaha menyelesaikannya.

"Kita bermula sejak tengah hari, bertemu pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Meru Raya, ada juga Ziarah Kasih MADANI ke 10 rumah sambil menyampaikan sumbangan bagi pihak Perdana Menteri di Meru 2C dan Kampung Dato Ahmad Said Tambahan.

"Selain itu, kita turut menyantuni ketua kampung, JPKK dan menyerahkan sumbangan termasuk Kotak Rahmah serta sumbangan tunai Aidilfitri kepada mereka," katanya.

Muhammad Kamil berkata, sebanyak 3,000 lagi Kotak Rahmah akan diedarkan kepada penduduk di Parlimen Tambun yang memerlukan melalui ketua kampung.

Berita Harian X