Rabu, 3 April 2024 | 10:13am
Muhammad Iskandar Bunari, 39, menyusun songkok sambil menunggu pelanggan di Bazar Aidilfitri Senawang, semalam. NSTP/AZRUL EDHAM
Muhammad Iskandar Bunari, 39, menyusun songkok sambil menunggu pelanggan di Bazar Aidilfitri Senawang, semalam. NSTP/AZRUL EDHAM

Peniaga bimbang tak pulang modal, perniagaan merosot lebih 50 peratus

SEREMBAN: Kira-kira seminggu lagi menjelang Syawal, peniaga terutama yang menjual pakaian di Bazar Aidilfitri Senawang di sini, mengeluh kebimbangan apabila stok mereka masih banyak tidak terjual.

Tinjauan di bazar berkenaan mendapati rata-rata peniaga mengakui jualan pada tahun ini, merosot berbanding 2023 hingga terpaksa menurunkan harga jualan.

Pertama kali berniaga di Bazar Aidilfitri, Siti Aishah Soolan, 59, mengakui ia pengalaman yang agak perit apabila kedai tempatnya bekerja pernah beberapa kali tiada jualan langsung dalam satu malam.

"Tahun ini pertama kali majikan yang juga rakan saya cuba berniaga baju raya di bazar ini kerana sebelum ini dia melihat tapak di sini menarik tumpuan ramai pengunjung.

"Kami sasar dalam satu malam dapat jual paling minimum dalam 50 pasang baju. Bagaimanapun setakat ini jualan paling tinggi 25 pasang pada hari minggu, malah ada beberapa kali tiada jualan langsung," katanya ketika ditemui.

Peniaga songkok, Muhammad Iskandar Bunari, 39, berkata jika tahun lalu dianggap mencabar dan kerana dalam fasa pasca pandemik, namun tahun ini hasil jualan makin menurun lebih 50 peratus.

"Orang memang ramai yang datang terutama pada malam minggu, namun kebanyakan hanya mencuci mata. Mereka mungkin ada alasan tersendiri sama ada untuk berjimat atau keadaan ekonomi yang makin mencabar.

"Kami sudah berniaga songkok sejak lebih enam tahun lalu. Jika tahun lalu saya rasa jualan sudah berkurang, namun kali ini makin merosot sehingga 60 peratus.

"Kami memang sedia maklum bahawa raya pada tahun ini orang ramai banyak keluar wang kerana bertembung dengan sesi persekolahan, jadi kami masih mengekalkan harga sama seperti tahun lalu, namun ia tidak menjadi," katanya.

Peniaga baju, Nor Naiman Ali, 33, berkata dia mula menurunkan harga baju raya dijualnya kerana stok masih banyak sedangkan hanya berbaki seminggu lagi sebelum ketibaan Aidilfitri.

"Saya bimbang dengan keadaan ini dan terpaksa 'buang' harga walaupun harga asal memang tidak dinaikkan sejak tahun lalu. Ramai peniaga lain juga mengadu jualan mereka merosot terutama peniaga pakaian.

"Saya rasa orang berjimat-cermat tambahan pilihan pakaian yang lebih murah melalui atas talian menjadi faktor situasi ini berlaku," katanya.

Berita Harian X