Selasa, 2 April 2024 | 6:41pm

Usul pindaan Perlembagaan BERSATU memenuhi kehendak Akta Pertubuhan 1966 - ROS

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU kerana ia memenuhi kehendak mengikut Seksyen 11 Akta Pertubuhan 1966.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata pindaan peruntukan dilaksanakan parti itu juga, dibuat mengikut Perlembagaannya.

"Ada Setiausaha Kerja BERSATU datang pagi tadi untuk ambil keputusan pindaan.

"Ini perkara biasa bagi permohonan pindaan perlembagaan parti politik dan mengambil kira kelulusan yang diberikan parti politik yang lain sebelum ini," katanya kepada BH.

Terdahulu, Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, memaklumkan ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu.

BERSATU sebelum ini meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Keputusan itu dibuat pada EGM selepas perwakilan BERSATU yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti.

Pindaan itu dilakukan selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berita Harian X