Selasa, 2 April 2024 | 3:40pm

ROS lulus pindaan Perlembagaan BERSATU

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan BERSATU yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti itu, 2 Mac lalu.

Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ROS sudah meluluskan pindaan terbabit yang membolehkan parti itu mengambil langkah seterusnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen, sekali gus diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).

"Alhamdulillah, ROS telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan BERSATU yang membolehkan kami mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen yang telah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Langkah seterusnya, mengosongkan kerusi-kerusi mereka ini untuk PRK peringkat Parlimen," katanya dalam satu hantaran melalui media sosialnya, hari ini.

Beliau turut menyiarkan salinan surat kelulusan itu yang antara lain menyebut pindaan terbabit diluluskan dan boleh dikuatkuasakan mulai 1 April 2024.

Surat itu ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966.

Pada 2 Mac lalu, BERSATU meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Keputusan itu dibuat pada EGM selepas perwakilan BERSATU yang hadir sebulat suara menyokong usul meminda Perkara 10 Perlembagaan parti.

Pindaan itu dilakukan selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 7 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang), turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pindaan berkenaan membabitkan tiga perkara bawah Fasal 10 Perlembagaan BERSATU yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti, iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Fasal 10.4 memperuntukkan mana-mana ahli BERSATU yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi selari dengan Fasal 10.5, disifatkan terhenti keahliannya daripada parti itu secara serta-merta.

Perkara 10.5 pula menyatakan Majlis Pimpinan Tertinggi boleh mengeluarkan arahan khusus kepada mana-mana atau semua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat atau DUN atau Dewan Negeri, dan ia hendaklah dibuat secara bertulis.

Perkara 10.6 merujuk kepada Fasal 10.4, iaitu Setiausaha Agung, atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi, hendaklah mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan yang memaklumkan bahawa keahlian beliau telah terhenti secara serta-merta dan namanya dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian parti.

Berita Harian X