Selasa, 2 April 2024 | 3:13pm
Anthony Loke menyantuni orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri ketika awatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. - foto BERNAMA
Anthony Loke menyantuni orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri ketika awatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. - foto BERNAMA

Satu bas akan berlepas setiap setengah minit dari TBS sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah meluluskan 218 bas tambahan setakat 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung sempena Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah bas tambahan dijangka meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada 4.00 petang hari ini.

"Pada tahun lepas, sebanyak 256 bas tambahan telah diluluskan oleh APAD.

"Selain itu, sebanyak 220,000 daripada kira-kira 330,000 tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk perjalanan sempena Aidilfitri telah terjual dengan semua tiket ke Pantai Timur sudah habis.

"Ia menjadikan hanya kira-kira 100,000 tiket bas ekspres yang tinggal, iaitu bagi perjalanan ke utara dan selatan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau persiapan Aidilfitri 2024 di TBS, hari ini.

Anthony Loke menyampaikan sumbangan sempena lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. - Foto NSTP/Farhan Razak
Anthony Loke menyampaikan sumbangan sempena lawatan kerja ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini. - Foto NSTP/Farhan Razak

Loke berkata, keselamatan penumpang menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan APAD telah memastikan bas-bas tambahan yang diluluskan disaring dahulu bagi memastikan bas digunakan mematuhi kriteria permohonan termasuk melepasi kelulusan pemeriksaan keselamatan kenderaan dan memiliki GPS.

"Pemandu bas diwajibkan melakukan ujian saringan bagi memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah selain dipastikan tidak mengambil perjalanan lebih daripada sepatutnya, bagi memastikan mereka mendapat rehat mencukupi.

"Operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan kerap dilaksanakan selain pemantauan mengejut lebih kerap di terminal bas seluruh negara bagi menjamin ketersediaan pemandu dan keadaan fizikal bas supaya selamat digunakan," katanya.

Katanya, terminal bas dijangka menghadapi lonjakan jumlah penumpang terutamanya hujung minggu ini, di mana di TBS dianggarkan mengendalikan 30,000 penumpang sehari, membabitkan 1,000 perjalanan bas ekspres dalam tempoh 24 jam.

"Kira-kira 40 bas akan berlepas dalam tempoh satu jam, maksudnya hampir setiap satu setengah minit akan ada satu bas berlepas dari TBS membabitkan bas mempunyai purata 30 hingga 40 penumpang. Jadi persiapan rapi perlu dibuat terminal bas.

"Sejak penubuhan TBS pada 14 tahun lepas, terminal bas berkenaan telah mengendalikan kira-kira 100 juta penumpang dengan penjualan tiket mencecah RM1 bilion," katanya.

Berita Harian X