Selasa, 2 April 2024 | 1:26pm

Sistem penjualan tiket dalam talian di TBS ditambah baik - Loke

KUALA LUMPUR: Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menambaik sistem penjualan tiket dalam talian dengan melaksanakan integrasi sistem pas pelepasan Kod QR sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata perkara berkenaan adalah bagi mengurangkan isu kesesakan pembelian tiket secara fizikal dan penebusan pas pelepasan secara fizikal yang ditempah dalam talian di kaunter.

"Susulan daripada itu, langkah integrasi dilaksanakan kali ini bagi mengurangkan kesesakan sekali gus memudahkan orang ramai untuk pulang beraya di kampung halaman.

"Pada tahun lalu, orang ramai terpaksa beratur panjang hanya untuk menukar pas pelepasan, itu diambil perhatian serius oleh Kementerian Pengangkutan dan memohon kerjasama daripada pihak pengendali terminal dan mengintegrasikan sistem atas talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau sempena persiapan Aidilfitri 2024 di sini, hari ini.

Loke berkata, sehingga kini, beberapa penyedia Sistem Tiket Online (OTA) utama iaitu GoHub, BusOnlineTicket dan RedBus sudah menambah baik pelaksanaan integrasi sistem dengan TBS untuk penggunaan kod QR.

"Kita meminta penyedia OTA bas ekspres yang masih belum melaksanakan sistem pelepasan menggunakan kod QR untuk melaksanakannya dengan kadar segera, selari dengan aspirasi pendigitalan Kementerian Pengangkutan.

"Pada tahun lalu, kira-kira 65 peratus pembelian tiket bas ekspres adalah melalui atas talian berbanding 35 peratus dibeli di kaunter tiket.

"Untuk tahun ini sebanyak 70 peratus pembelian tiket bas ekspres atas talian sudah terjual dan sebanyak 30 peratus lagi dijual melalui kaunter di terminal itu.

"Jumlah tiket untuk sambutan Aidilfitri yang kita buka secara keseluruhan adalah 330,00 tiket. Untuk setakat ini, sebanyak 220,000 tiket sudah habis dijual untuk utara, selatan dan pantai timur. Ini bermakna ada 100,000 tiket lagi yang masih berbaki boleh dibeli.

"Bagaimanapun, untuk tiket ke Pantai Timur sudah habis terjual," katanya.

Loke juga berkata, tahun ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah meluluskan sebanyak 218 bas tambahan setakat 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung sempena Aidilfitri minggu depan.

"Jumlah bas tambahan dijangka akan meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada jam 4 petang hari ini," katanya.

Selain itu, Loke berkata, Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dijangka akan mula beroperasi pada Jun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat tarikh secara spesifik berkenaan pengoperasian terbabit dan akan membuat tinjauan berikutnya selepas Aidilfitri.

"Ia masih dalam tinjauan terakhir, saya difahamkan mengikut tentatif adalah pada Jun tahun ini.

"Cuma setakat ini, belum ada tarikh dan saya akan tinjau selepas raya," katanya.

Berita Harian X