Selasa, 2 April 2024 | 12:34pm
Dr Kasemani ketika menjalankan Ops Pasaraya Dan Walkabout Sempena Ramadan Peringkat Negeri Terengganu, di Bazar Ramadan Wakaf Tapai, semalam. - Foto NSTP/NAZDY HARUN
Dr Kasemani ketika menjalankan Ops Pasaraya Dan Walkabout Sempena Ramadan Peringkat Negeri Terengganu, di Bazar Ramadan Wakaf Tapai, semalam. - Foto NSTP/NAZDY HARUN

Tahap kebersihan diri, premis tak memuaskan, 148 peniaga bazar Ramadan dikompaun

MARANG: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan 148 kompaun kepada peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini, kata Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong.

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan itu atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai sebanyak RM15,450.

Katanya, sehingga 30 Mac sebanyak 3,298 tapak bazar diperiksa dan kesalahan yang dikesan antaranya tidak memakai pelindung, tidak mengamalkan kebersihan diri yang baik, mengendalikan makanan tanpa suntikan dan latihan pengendali makanan.

"Sejumlah 78 sampel makanan diambil di lokasi terpilih, termasuk bazar Ramadan dan lain-lain premis penjualan makanan.

"Pengambilan sampel bertujuan bagi analisa dan pematuhan Akta Makanan 1983, semua premis makanan adalah tertakluk untuk menjual makanan yang bersih dan selamat kepada pengguna.

"Selain bazar Ramadan, JKNT akan terus menjalankan pemeriksaan di pasaraya, kedai runcit dan lain-lain pembekal bahan mentah bagi memastikan bahan mentah yang dibekalkan adalah bersih dan selamat sebelum sampai ke tangan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan Ops Pasaraya Dan Walkabout Sempena Ramadan Peringkat Negeri Terengganu, di Bazar Ramadan Wakaf Tapai, di sini, semalam.

Berita Harian X