Isnin, 1 April 2024 | 5:05pm
Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto Selangor Royal Office
Tengku Permaisuri Norashikin. - Foto Selangor Royal Office

Tengku Permaisuri Selangor kecewa kaedah urus anjing terbiar

SHAH ALAM: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dukacita dan kecewa mendengar perkembangan terbaharu mengenai operasi penangkapan anjing berkeliaran khususnya di Selangor.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Norashikin sudah berkali-kali menekankan baginda amat tidak bersetuju dengan pendekatan 'catch and kill' atau tangkap dan lupus dilakukan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk yang tular membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Saya percaya banyak lagi kaedah lain yang boleh diguna pakai untuk membendung masalah ini termasuk pemandulan (neuter).

"Sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) di bawah SPCA Selangor, saya mahu PBT memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan anjing-anjing terbiar ini," demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan perkara itu susulan isu yang tular di media sosial berhubung pelaksanaan 'task force' dan penangkapan anjing berkeliaran oleh MBSA.

Menurut kenyataan itu, sebelum ini baginda pernah mencadangkan agar usaha-usaha memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

"Kempen CCC antaranya menggariskan beberapa inisiatif utama membabitkan kerjasama di antara PBT dengan SPCA dalam mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

"Ini termasuk mendapatkan khidmat nasihat dan pemantauan daripada SPCA dan NGO sekiranya wujud keperluan untuk melupuskan haiwan-haiwan terbiar ini di atas sebab kesihatan atau sebagainya.

"Saya ingin mencadangkan selain daripada program pemandulan haiwan yang lebih meluas, PBT boleh mewujudkan rumah perlindungan haiwan terbiar bagi setiap taman perumahan dengan kerjasama penduduk-penduduk yang sayangkan haiwan.

"PBT juga wajar mewajibkan pemaju perumahan untuk membina atau menyediakan pusat perlindungan seumpamanya," demikian kenyataan baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin dalam kenyataan memaklumkan, ketika ini, SPCA Selangor Bersama Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) dan Persatuan Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) giat mengadakan program pemandulan kucing dan anjing, "Potong-Royong."

"Sejak dimulakan pada Mac 2023, sejumlah 1,626 ekor haiwan dimandulkan menerusi program ini, sebagai usaha mengurangkan populasi haiwan terbiar.

"Saya juga berpendapat sudah tiba masa untuk pihak berwajib meneliti semula Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan agar lebih relevan dengan situasi semasa.

"Saya benar-benar berharap usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja," titahnya.

Berita Harian X