Isnin, 1 April 2024 | 4:57pm
Kakitangan MPB melakukan aktiviti bermain congkak dan dam haji bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng, di sini, kelmarin. - Foto NSTP/Amir Mamat
Kakitangan MPB melakukan aktiviti bermain congkak dan dam haji bersama penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng, di sini, kelmarin. - Foto NSTP/Amir Mamat

MPB santuni 160 warga emas menerusi program RaRa Macam Dulu-Dulu

MELAKA: Media Prima Berhad (MPB) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi kempen RaRa Macam Dulu-Dulu Geng Ori x Jom Ronda dengan menyantuni penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng, di sini semalam.

Destinasi persinggahan keenam daripada lapan lokasi itu bertujuan untuk beramah-mesra, menyampaikan sumbangan serta melaksanakan beberapa aktiviti yang mengimbau nostalgia penghuni rumah kebajikan sewaktu menyambut perayaan berkenaan ketika zaman remaja mereka.

Antara aktiviti itu termasuk pemasangan pelita buluh dan minyak tanah, hiasan deko raya selain permainan tradisional seperti baling selipar, baling tin, boling padang, congkak, dam haji dan ular serta karom.

Keceriaan jelas terpancar di wajah 160 warga emas pelbagai usia apabila mereka seolah-olah 'ditatang bagai minyak yang penuh' oleh pihak MPB, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri yang berkolaborasi menjayakan kempen RaRa Macam Dulu-Dulu Geng Ori x Jom Ronda.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Pengarah Projek MPB, Hairi Zolhaini menyantuni warga emas yang uzur. - Foto NSTP/Amir Mamat
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Pengarah Projek MPB, Hairi Zolhaini menyantuni warga emas yang uzur. - Foto NSTP/Amir Mamat

Golongan itu juga dijamu dengan juadah enak pada majlis berbuka puasa yang turut disertai dua selebriti TV3, Mior Abdul Malek Raiyani dan Fatin Hamimah Yusof.

Pengurus Projek MPB, Hairi Zolhaini, berkata dengan berbaki tempoh tidak sampai 10 hari untuk umat Islam meraikan Aidilfitri, konglomerat media terbesar di Malaysia itu tetap meneruskan perancangan melaksanakan CSR dalam usaha menggembirakan golongan tidak bernasib baik.

Katanya, selain anak yatim dan ibu tunggal yang sering mendapat perhatian, warga emas juga tidak ketinggalan untuk diberikan kegembiraan dalam persiapan menyambut lebaran.

"Alhamdulillah, sejajar dengan tema retro dan nostalgia, kempen ini juga bertujuan membangkitkan semula keindahan zaman dahulu serta menggalakkan orang ramai menghayati sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

"Kita dapat rasakan kegembiraan penghuni Rumah Seri Kenangan Cheng ini dan sudah pasti, aktiviti ini menepati objektif yang dirancang sebelum ini," katanya.

Program CSR itu turut mendapat kerjasama MBMB, JKM negeri serta beberapa syarikat korporat lain.

RaRa Macam Dulu-Dulu akan berkunjung dan menyebarkan kegembiraan di lapan pusat jagaan warga emas di zon Utara, Timur, Selatan dan Wilayah Tengah, sejak minggu lalu hingga 6 April ini.

Lokasi di zon Utara yang dikunjungi adalah Kedah dan Pulau Pinang, diikuti zon Timur membabitkan Kelantan dan Terengganu; Selatan di Johor dan Melaka, manakala Wilayah Tengah di Sungai Buloh dan Ampang.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata pihaknya menyambut baik usaha murni MPB dalam membantu golongan memerlukan.

Katanya, ia bertepatan dengan langkah kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang sering mengutamakan kebajikan rakyat sebagai asas kepada usaha membangunkan negeri, apatah lagi Melaka kini sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Pastinya MBMB sentiasa terbuka untuk meneruskan jalinan kerjasama dengan MPB sebagai konglomerat media terbesar terkemuka dalam beberapa lagi aktiviti, khususnya ketika Melaka sibuk melaksanakan kempen TMM2024 ketika ini.

"Insya-Allah, saya yakin MPB mampu membantu kerajaan negeri dalam usaha menjayakan sektor pelancongan negeri menerusi aktiviti yang bakal dilaksanakan di negeri ini tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X