Isnin, 1 April 2024 | 4:48pm
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad merasmikan Program Nuetraliti Plastik: Tindakan Kolaboratif dan Penyelesaian Inovatif di UNIMAS. NSTP/ Nadim Bokhari
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad merasmikan Program Nuetraliti Plastik: Tindakan Kolaboratif dan Penyelesaian Inovatif di UNIMAS. NSTP/ Nadim Bokhari

Teliti gubal undang-undang atasi masalah pencemaran plastik

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang meneliti penggubalan undang-undang bagi mengatasi masalah pencemaran plastik.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata meskipun pelbagai peraturan sudah diperkenalkan sejak 2018 seperti pelan ke arah kelestarian plastik dan pelan pengurangan plastik sekali guna, pelaksanaannya dilihat masih agak perlahan dan kurang berkesan.

Beliau berkata, ia mungkin disebabkan peraturan yang dibuat itu tidak sesuai untuk dilaksanakan di tempat tertentu.

"Misalnya peraturan yang dibuat itu sesuai di Kuala Lumpur tetapi tidak di tempat lain seperti di Sarikei (Sarawak) atau Pensiangan (Sabah).

"Sebab itu kita kena bertindak segera dengan melihat dan memperbaiki kerangka dasar perundangan sedia ada berhubung penggunaan plastik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Laluan ke Nuetraliti Plastik: Tindakan Kolaboratif dan Penyelesaian Inovatif di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Hijau, Shahrinaz Maamor.

Nik Nazmi berkata, dasar berhubung penggunaan plastik memang sudah ada di peringkat nasional, bagaimanapun pelaksanaan dari segi arahan atau perundangan bergantung kepada peraturan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebab itu, kita kena tengok semula mungkin masih adakah ruang untuk kita meneliti perkara ini di peringkat nasional supaya usaha kita untuk mengatasi masalah pencemaran plastik lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata, banyak langkah diperkenalkan sebelum ini seperti menggalakkan penggunaan plastik mudah urai, namun ia juga tidak berkesan kerana plastik berkenaan tidak terurai sendiri secara semula jadi.

"Mungkin juga selepas ini kita galakkan penggunaan kertas pula kerana masalah plastik kini semakin kritikal misalnya kuantiti plastik di dalam sungai terlalu banyak sehingga menyumbang berlakunya banjir," katanya.

Mengenai usaha untuk mengatasi penurunan paras air di beberapa empangan susulan cuaca panas melampau, Nik Nazmi berkata, pembenihan awan masih belum dijalankan ketika ini kerana inisiatif itu bergantung kepada kesesuaian keadaan cuaca, awan serta angin.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah bersiap sedia untuk melaksanakannya, namun operasi pembenihan awan itu berpandukan nasihat Jabatan Meteorologi (METMalaysia)," katanya.

Berita Harian X