Isnin, 1 April 2024 | 12:37pm
Dr Mohd Shukri (tengah) bersama Dr Junainah serta Rosli menyantuni anak-anak yatim dengan agihan duit raya sempena program MSU Ihya Ramadan 2024
Dr Mohd Shukri (tengah) bersama Dr Junainah serta Rosli menyantuni anak-anak yatim dengan agihan duit raya sempena program MSU Ihya Ramadan 2024

MSU raikan 200 anak yatim sempena Ihya Ramadan

KUALA LUMPUR: Management and Science University (MSU) menyantuni 200 anak yatim daripada 20 rumah kebajikan sekitar Lembah Klang, bersempena program MSU Ihya Ramadan 2024 di sini.

Menerusi program itu, MSU mengadakan majlis berbuka puasa dan penyerahan zakat kepada anak-anak yatim terbabit bertempat di Dewan Canselor MSU di Shah Alam.

Antara rumah kebajikan yang diraikan ialah Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Al-Nasuha, Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Rumah Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad serta Pusat Jagaan Darul Imtinan.

Selain menyantuni dan berkongsi rezeki, program itu dianjurkan sebagai tanda keprihatinan MSU terhadap kebajikan dan pembangunan komuniti.

MSU dalam kenyataannya, berkata hubungan erat di antara pihaknya dengan rumah kebajikan berkenaan sudah terjalin sejak 2011 dan terus berkekalan sehingga kini.

"Majlis disempurnakan Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, yang turut menyerahkan sumbangan wang zakat dan duit raya dari Yayasan MSU bernilai RM120,000 kepada rumah-rumah kebajikan dan penghuninya.

"Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi (2G Culture) dalam kalangan warga kampus khasnya dan masyarakat amnya," katanya.

Hadir sama Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid; Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof, pengurusan kanan universiti serta wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.

Program MSU Ihya Ramadhan 2024 turut menyaksikan perlaksanaan lebih 200 aktiviti membabitkan warga kampus, komuniti setempat serta komuniti antarabangsa.

Antaranya golongan yang disantuni dalam program itu adalah anak yatim, asnaf, mualaf, kategori B40, orang Asli, petugas barisan hadapan, pelajar MSU dan Kolej MSU, pelajar sekolah serta rakan-rakan industri.

Banyak program yang dianjurkan antaranya majlis sumbangan zakat kepada pelajar MSU dan Kolej MSU serta pelajar-pelajar sekolah menengah terpilih di Lembah Klang.

Ia termasuk penganjuran program seperti MSU Cares B40 Project, Hopebox, Ramadan Iftar Box, MSU Quranic League, Sinar Ramadan 7.0, Ramadan Booster, GPS Ramadan 2024 ASEAN Tour", MSU Bubur Lambuk Bowl serta GPS Ramadan: Bangalore Chapter .

Berita Harian X