Isnin, 1 April 2024 | 12:36pm
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menyantuni tetamu dan pengamal media yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Timbalan Menteri Komunikasi malam tadi. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menyantuni tetamu dan pengamal media yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Timbalan Menteri Komunikasi malam tadi. - Foto BERNAMA

'Rakyat tak usah panik peningkatan serangan siber' - Teo Nie Ching

KULAI: Rakyat tidak perlu panik dengan peningkatan serangan siber yang berlaku setiap hari kerana kerajaan mempunyai beberapa agensi khususnya Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) yang sentiasa memantau perkara berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata serangan siber menerusi pelbagai platform bukanlah perkara baharu terutamanya apabila sistem jaringan telekomunikasi digital semakin maju.

"Setakat ini, rakyat tidak perlu bimbang. Ya, memang betul perkara ini mengikut situasi antarabangsa khususnya membabitkan isu sensitif dan panas. Disebabkan itu, kerajaan mewujudkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber.

"RUU ini bertujuan mempertahankan infrastruktur kritikal negara termasuk pusat data, hospital, sistem perbankan dan komunikasi. Semua ini adalah aset keselamatan yang sangat penting buat negara," katanya ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Pejabat Ahli Parlimen Kulai di sini malam tadi.

Justeru itu, beliau meminta masyarakat untuk terus kekal tenang selain memberi kepercayaan dan keyakinan kepada agensi keselamatan negara termasuk Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara berhubung ancaman berkenaan.

"Pihak berkenaan adalah antara agensi yang boleh melindungi data dan maklumat sensitif membabitkan keselamatan negara," kata Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Pada Sabtu lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata sistem pertahanan negara menerima kira-kira 3,000 serangan siber setiap hari khususnya selepas Malaysia menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Dewan Rakyat pada Selasa lepas meluluskan RUU Keselamatan Siber 2024 bertujuan meningkatkan keselamatan siber negara menerusi pematuhan terhadap langkah, standard dan proses tertentu dalam pengurusan ancaman keselamatan siber.

Menteri Digital Gobind Singh Deo dilapor berkata menurut RUU itu, terdapat 11 sektor yang ditakrifkan sebagai sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) iaitu sektor kerajaan, perbankan dan kewangan, pengangkutan, pertahanan dan keselamatan negara serta maklumat, komunikasi dan digital. – BERNAMA

Berita Harian X