Isnin, 1 April 2024 | 11:47am
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (kanan) melihat demonstrasi penggunaan Unit Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih pada Majlis Demonstrasi Penggunaan 'Mobile Hydrogen Refueling Unit' Dan Kenderaan Toyota Mirai, di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang (kanan) melihat demonstrasi penggunaan Unit Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih pada Majlis Demonstrasi Penggunaan 'Mobile Hydrogen Refueling Unit' Dan Kenderaan Toyota Mirai, di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

Ekonomi hidrogen mampu jana pendapatan RM12 bilion menjelang 2030

PUTRAJAYA: Negara dijangka menjana pendapatan kira-kira RM12 bilion melalui ekonomi hidrogen menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata buat masa ini, Malaysia sedang membangunkan ekosistem bagi ekonomi hidrogen, dengan mencipta permintaan dan penawaran dalam mobiliti hidrogen yang masih baharu di negara ini.

"Kita harap akan mendapat manfaat daripada ekonomi hidrogen ini melalui eksport hidrogen hijau, selain melihat kepada kerjasama dengan sektor swasta bagi membantu Malaysia mewujudkan persekitaran ekonomi hidrogen yang kukuh.

"Pada masa sama, ini juga adalah sasaran kita untuk mencapai penyahkarbonan global menjelang 2050," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan kenderaan Toyota Mirai di sini, hari ini. Majlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lih Kang memaklumkan, buat masa ini, hanya Sarawak yang mempunyai teknologi penjanaan hidrogen hijau dan lima Toyota Mirai, kenderaan jenis elektrik sel bahan api (FCEV) yang menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan.

Katanya, Toyota Mirai yang dilancarkan Perdana Menteri, hari ini, adalah yang pertama di Semenanjung.

"Kenderaan ini mempunyai beberapa kelebihan, antaranya masa pengisian penuh hidrogen yang pendek, iaitu antara tiga hingga lima minit; jarak perjalanan lebih jauh, iaitu 700 ke 1,000 kilometer (km) bagi setiap pengisian, selain lebih ringan berbanding kenderaan elektrik (EV) lain.

"Buat masa ini, kita perlu selesaikan dari segi penjanaan hidrogen hijau terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada penjualan kenderaan ini," katanya.

Mengenai sama ada teknologi hidrogen hijau boleh diperoleh dengan kos lebih rendah, berbanding petrol, Lih Kang berkata, pihaknya percaya ia akan lebih kompetitif apabila dihasilkan secara besar-besaran dan dikomersialkan, menjelang 2050.

"Hidrogen ini bersih dan ebih mudah diperoleh dalam alam sekitar kita.

"Buat masa ini, harganya masih tinggi kerana ia belum dikomersialkan lagi, namun kita sedang ke arah itu," katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dan Lih Kang diberi penerangan mengenai Toyota Mirai dan MHRU, selain turut mengambil peluang merasai pengalaman menaiki kenderaan itu dari Kompleks C ke Perdana Putra.

Lih Kang berkata, Perdana Menteri bertanya lanjut mengenai perkembangan teknologi hidrogen dan turut memuji prestasi kenderaan itu, dengan pemanduan yang disifatkan lebih senyap berbanding kenderaan biasa.

Berita Harian X