Isnin, 1 April 2024 | 11:43am
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan April 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri hari ini. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan), Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua, kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan (kiri). - foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bagi Bulan April 2024 di Dewan Sri Endon Puspanitapuri hari ini. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan), Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua, kiri) dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan (kiri). - foto BERNAMA

BKK RM500 bukti kerajaan Anwar sentiasa terbuka dengar pandangan - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 yang diumumkan kerajaan hari ini menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa terbuka mendengar pandangan.

Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata ini kerana sebelum ini kerajaan memaklumkan tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan khas kerana sudah menerimanya pada Februari.

"CUEPACS merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

"Bantuan ini juga adalah penghargaan Perdana Menteri kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

"Walaupun sebelum ini ada terdapat khabar bahawa kerajaan tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan khas Aidilfitri, Alhamdulillah pada akhirnya Perdana Menteri memberi pertimbangan yang wajar bagi membantu penjawat awam.

"CUEPACS yakin pertimbangan yang diberikan kerajaan pada hari ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam dan pihak kami juga memahami situasi semasa dan keputusan yang dibuat kerajaan pada keadaan ekonomi ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Presiden CUEPACS Adnan Mat. - Foto fail NSTP
Presiden CUEPACS Adnan Mat. - Foto fail NSTP

Anwar hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini.

Anwar berkata kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Bagi pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250 diperuntukkan.

Dalam pada itu, Adnan berharap penjawat awam akan memberikan komitmen yang penuh dalam menyampaikan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada rakyat dan negara.

"Pada masa sama CUEPACS percaya bantuan khas yang diterima oleh penjawat awam ini akan memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara.

"Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

"Bantuan kewangan ini sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan ia akan memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain," katanya.

Berita Harian X