Ahad, 31 March 2024 | 10:31am
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin @ Sahib Sahibuddin (tengah) menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak yatim pada Majlis Rewang Ramadan UiTM di Masjid As Solihin Kampung Padang Jawa, Shah Alam. NSTP / FAIZ ANUAR
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shahrin @ Sahib Sahibuddin (tengah) menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak yatim pada Majlis Rewang Ramadan UiTM di Masjid As Solihin Kampung Padang Jawa, Shah Alam. NSTP / FAIZ ANUAR

UiTM komited selesaikan semua masalah dibangkitkan PAC

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) komited melaksanakan tindakan dalaman bagi menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin, berkata pihak UiTM bersama anak syarikatnya sudah melaksanakan tindakan dalaman untuk memastikan sebarang permasalahan dan penemuan diselesaikan secepat mungkin.

"UiTM sedang giat dalam tindakan, saya sendiri mempengerusikan mesyuarat eksekutif setiap minggu yang mana kita buat semakan dan melaporkan kepada pihak lembaga pengarah.

"Setiap kali mesyuarat ada pelaporan khas apa tindakan yang kita sudah diambil, apa yang belum selesai dan apa yang sudah selesai sepenuhnya, Alhamdulillah.

"Memang kita sudah menguruskan semula struktur pentadbiran dari segi tatakelola, pertamanya kita perkenalkan kaedah semak dan imbang, bermakna semak dan imbang itu berlaku di peringkat UiTM Holdings dan juga berlaku di peringkat universiti

"UiTM komited dari segi tatakelolanya bagi memastikan perkara ini telus malah sudah menyusun kembali semua struktur tatakelola bagi memastikan bahawa apa sahaja dana kerajaan yang kami diuruskan dengan sebaik mungkin..Insya Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Rewang Ramadan UiTM bersama komuniti Kampung Padang Jawa di Masjid As Solihin, di sini petang semalam.

Mengulas lanjut katanya, UiTM Holdings sudah menyusun semula struktur pelaburan mereka untuk memastikan boleh memulangkan balik kepada UiTM dalam kadar segera.

"Maklumat yang ada pada saya, Insya Allah menjelang 2026 sebahagian daripada pelaburan itu akan mendatangkan pulangan balik kepada pihak universiti.

"Pada masa sama, pihak UiTM sendiri menjalankan aktiviti penjanaan dalaman bagi memastikan bahawa setiap peluang untuk kita memberikan perkhidmatan contohnya dalam bentuk perundingan, bekerjasama dengan syarikat dan sebagainya..itu semua berlaku.

"Untuk maklumat awam, sebenarnya pihak UiTM sendiri pada tahun lalu sahaja sudah menjana lebih RM400 juta untuk menampung keperluan dalaman," katanya.

Jelas beliau, sebahagian daripada pemberian dalaman UiTM adalah datang daripada rakan-rakan industri UiTM, contohnya melalui bayaran zakat yang mana kakitangan UiTM membuat pemotongan zakat pendapatan.

"Keseluruhannya bernilai RM12 juta, yang mana kita terima balik separuh, RM6 juta dipulangkan semula kepada pihak UiTM untuk diagihkan kepada kakitangan UiTM yang memerlukan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan PAC menegur syarikat pemegang pelaburan milik penuh UiTM dan beberapa anak syarikat universiti berkenaan kerana belum mencapai objektif asal termasuk mandat untuk mencipta kekayaan kepada UiTM.

Selain itu, UiTM Holdings dan anak-anak syarikat juga ditegur kerana didapati belum mencipta peluang pelaburan dan meningkatkan kedudukan strategik perniagaan teras syarikat.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata dapatan itu terkandung dalam lima rumusan berdasarkan prosiding yang dijalankan pihaknya pada 6 Disember tahun lalu.

Beliau berkata, PAC mendapati UiTM gagal mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan yang tidak selaras dengan peruntukan di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173).

Berita Harian X