Ahad, 31 March 2024 | 8:38am
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail (kanan) melancarkan program Inisiatif Mysavefood 2024 peringkat negeri Kelantan di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong semalam. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris
Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail (kanan) melancarkan program Inisiatif Mysavefood 2024 peringkat negeri Kelantan di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong semalam. - Foto NSTP/Siti Rohana Idris

2.5 tan makanan, minuman tak terjual dikumpul di 4 bazar Ramadan Kelantan

KOTA BHARU: Hampir 2.5 tan makanan dan minuman yang tidak terjual di empat bazar Ramadan dikumpulkan dalam tempoh dua minggu bermula 1 Ramadan lalu menerusi Program MySaveFood.

Makanan dan minuman itu dikumpulkan oleh sukarelawan daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) membabitkan Bazar Ramadan Rahmah di Mydin Hipermall Tunjong; Kubang Kerian; Pengkalan Chepa serta Pantai Irama (Bachok).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata program bertujuan menyelamatkan makanan dan minuman yang tidak habis dijual oleh peniaga di bazar Ramadan serta mengelakkan pembaziran.

"Antara makanan yang berjaya dikumpulkan oleh sukarelawan ialah nasi berlauk, kuih muih, mi goreng dan berkuah, lauk bergoreng dan bakar, makanan barat, pencuci mulut dan air minuman.

"Lebihan makanan ini akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti penduduk sekitar yang terdiri daripada golongan asnaf, rumah anak yatim, rumah kebajikan, masjid dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menginap di asrama.

"Program ini dilaksanakan dengan kerjasama sukarelawan dari tiga IPT di Kelantan iaitu Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Pengkalan Chepa dan Bachok serta Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dengan dibantu sukarelawan dari Pemuda GEMA Negeri Kelantan," katanya.

Bazar Ramadan Pantai Irama paling banyak lebihan

Dalam majlis pelancarannya di perkarangan Bazar Ramadan Rahmah di perkarangan Mydin Hipermall Tunjong semalam, Azman berkata makanan dan minuman paling banyak dikumpulkan di Bazar Ramadan Pantai Irama membabitkan 1,066.20 kilogram (kg) diikuti Kubang Kerian iaitu 877.02kg.

"Semoga tahun berikutnya lebih banyak GPS dari IPT di negeri Kelantan akan turut bersama-sama menjayakan program ini kerana ramai yang menerima manfaat terutama asnaf serta pelajar IPT yang tinggal di asrama," katanya.

Berita Harian X