Sabtu, 30 March 2024 | 8:27pm
Mohamed Khaled menerima penerangan ketika lawatan ke rumah anggota tentera pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa bersama warga Tentera Darat di Padang Kawat, PULADA, Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Khaled menerima penerangan ketika lawatan ke rumah anggota tentera pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa bersama warga Tentera Darat di Padang Kawat, PULADA, Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini. - Foto NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

'Malaysia terima lebih 3,000 ancaman serangan siber setiap hari'

JOHOR BAHRU: Malaysia menerima lebih 3,000 ancaman serangan siber setiap hari, yang berusaha membolosi sistem keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ancaman keselamatan terhadap negara bukan sahaja wujud dalam bentuk fizikal, malah ancaman keselamatan siber.

"Setiap hari, serangan siber terhadap negara adalah lebih 3,000 insiden.

"Jika ia (serangan) berjaya menggodam sistem kita, mereka (penggodam) dapat masuk untuk mengintip, mendengar dan meninjau pergerakan, perbualan kita terutama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan operasi ketenteraan sebagainya.

"Serangan dan usaha ini dilakukan untuk masuk ke dalam sistem negara kita oleh pelbagai pihak. Siapa pihaknya, kita tak perlu beritahu.

"Namun, saya nak beritahu bagaimana anggota ATM berkerja 24 jam sehari, tujuh hari seminggu tanpa cuti bagi menjaga kedaulatan negara bagi dibolosi secara fizikal dan ancaman serangan siber ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan rakyat negara ini susulan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, mengucapkan tahniah kepada PDRM atas kejayaan melakukan penangkapan berkenaan.

Katanya, ini menunjukkan ancaman kepada negara sentiasa berlaku dan memerlukan tindakan proaktif setiap hari.

"Dalam konteks ini, atas sebab itulah kita berharap rakyat menghargai usaha pasukan keselamatan sama ada PDRM dan ATM serta lain-lain.

"Mereka sentiasa bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu dalam menjaga sempadan, tiada kebolosan pendatang asing tanpa izin (PATI), menghalang penyeludupan selain memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terjamin secara fizikal mahupun ancaman serangan siber.

"Apatah lagi, penceroboh dan seumpamanya ini menggunakan teknologi canggih termasuk dron bagi membolosi negara kita dan menembusi sistem keselamatan kita," katanya.

Berita Harian X