Sabtu, 30 March 2024 | 6:53pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan, Jalan Datuk Mohammad Musa, Sarawak. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak 2024 di Masjid Al-Muttaqin Kota Samarahan, Jalan Datuk Mohammad Musa, Sarawak. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

PM berbuka puasa di Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Lebih 2,000 orang membanjiri pekarangan Masjid Al-Mutaqqin, di sini, hari ini untuk berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak.

Anwar tiba di masjid berkenaan jam 6 petang diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Selain itu, pemimpin kanan kerajaan Sarawak iaitu dua timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir.

Sebelum itu, Anwar menghadiri Taklimat Pembangunan Sarawak di Pejabat Pengairan dan Saliran (JPS) Cawangan Kota Samarahan.

Selepas itu beliau meluangkan masa mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Ketika mengunjungi bazar Ramadan berkenaan, beliau sempat membeli beberapa juadah berbuka kegemaran rakyat Sarawak antaranya kuih bongkol dan kuih celorot.

Sebelum majlis berbuka puasa, beliau menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selesai berbuka puasa, beliau kemudian menunaikan solat Maghrib bersama penduduk di Masjid Al-Mutaqqin dengan diimamkan oleh Imam Bahagian Samarahan, Ustaz Anwar Musadad Mohd Tajuddin.

Berita Harian X