Sabtu, 30 March 2024 | 12:01pm
Sebahagian jemaah yang menunaikan solat tarawih di Masjid Buluh Gading, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply
Sebahagian jemaah yang menunaikan solat tarawih di Masjid Buluh Gading, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Zatul Iffah Zolkiply

Bacaan surah pendek jadi tarikan jemaah bertarawih di Masjid Buluh Gading

KUALA TERENGGANU: Masjid Buluh Gading di sini sering menjadi pilihan hampir 500 jemaah untuk menunaikan solat tarawih.

Setiap kali Ramadan, masjid ini pastinya menjadi tumpuan jemaah pelbagai peringkat umur kerana hanya mengambil masa kira-kira 20 minit bagi menyelesaikan lapan rakaat dan tiga rakaat solat witir.

Solat sunat di masjid berkenaan bermula jam 8.45 malam dan selesai kira-kira jam 9.05 minit berbanding di masjid dan surau lain yang biasanya bermula jam 9 malam dan berakhir kira-kira 30 minit kemudian.

Selain memudahkan warga emas dan jemaah uzur, pendekatan digunakan masjid berkenaan turut menarik minat golongan muda kerana bacaan yang ringkas dan jelas.

Imam Masjid Buluh Gading, Muhammad Hafiz Abdul Halim, berkata solat tarawih yang ringkas bagi menggalakkan orang ramai termasuk warga emas dan uzur turut sama menunaikan solat itu sepanjang Ramadan.

Katanya, solat tarawih di masjid bukan laju sebaliknya diringkaskan dengan bacaan surah-surah pendek yang sudah lama diamalkan setiap kali tibanya Ramadan.

"Biasanya solat tarawih di sini selesai dalam masa 20 minit berbanding tempat lain kira-kira 30 minit.

"Di sini tidak ada tazkirah antara empat rakaat itu dan kita baca surah yang pendek. Tujuannya kita tidak mahu jemaah menunggu lama terutama mereka yang uzur," katanya.

Seorang jemaah, Muhammad Shahir Shaari, 28, berkata, bacaan yang ringkas dan jelas menjadi keunikan masjid berkenaan yang bukan hanya memudahkan golongan warga emas dan uzur tetapi mampu menarik minat golongan muda.

"Bagi saya sembahyang di sini bukan cepat tetapi ia buat ringkas, jadi ramai anak-anak muda yang datang sembahyang tarawih di sini.

"Biasanya, jemaah terutama orang muda ini ada aktiviti lain, jadi mereka boleh buat selepas itu sebaik selesai solat," katanya.

Bagi Mohd Shukri Salleh, 49, pula, sudah menjadi tradisi apabila imam yang bertugas hanya membaca surah yang ringkas.

Katanya, amalan itu bukan hanya menjadi tarikan jemaah dalam kalangan penduduk setempat tetapi jemaah dari daerah lain.

"Di sini cepat berbanding tempat lain sebab bacaan surah yang pendek bukan hanya untuk galakkan orang muda tetapi dia (imam) tahu ramai orang tua, jadi tak nak bagi penat," katanya.

Berita Harian X