Sabtu, 30 March 2024 | 12:01pm
Lampu hiasan yang bertemakan sambutan Aidilfitri yang dipasang di di Dataran Lobak. Komuniti di Lobak mengenepikan perbezaan kaum apabila sama-sama menghangatkan ketibaan Aidilfitri dengan menghias Dataran Lobak dengan lampu raya dan pelbagai hiasan simbolik perayaan itu. NSTP/AZRUL EDHAM
Lampu hiasan yang bertemakan sambutan Aidilfitri yang dipasang di di Dataran Lobak. Komuniti di Lobak mengenepikan perbezaan kaum apabila sama-sama menghangatkan ketibaan Aidilfitri dengan menghias Dataran Lobak dengan lampu raya dan pelbagai hiasan simbolik perayaan itu. NSTP/AZRUL EDHAM

Ketepikan perkauman, raikan suasana malam Ramadan dengan hiasan lampu Aidilfitri

SEREMBAN: Komuniti sekitar Lobak di sini, mengenepikan perbezaan kaum apabila sama-sama menghangatkan suasana malam Ramadan yang menghampiri Aidilfitri ketika ini, dengan menghiasi Dataran Lobak di sini dengan lampu raya dan pelbagai hiasan simbolik perayaan itu.

Apa yang menarik, lebih 70 peratus penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada kaum Cina, sekali gus menggambarkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Malah, difahamkan juga, Dataran Lobak yang kini menjadi tarikan pelbagai kaum turut dihiasi pelbagai hiasan bertemakan Tahun Baharu Cina ketika perayaan itu pada bulan lalu dan perkara sama akan dilaksanakan pada Deepavali akan datang.

Jururawat, A Sheela, 39, berkata, dia mengambil kesempatan bersiar dengan keluarganya pada waktu malam, selepas mengetahui kawasan terbabit dihiasi dengan lampu menarik menjelang Aidilfitri.

"Kami dari Seremban Jaya. Anak maklumkan yang kawasan ini ada lampu dengan hiasan seperti ketupat, anak bulan dan sebagainya jadi saya bawa anak-anak datang ke sini.

"Meskipun saya tidak menyambut Aidilfitri, namun sebagai rakyat Malaysia yang ada pelbagai agama, saya rasa tidak salah untuk kami bersama-sama merasai kemeriahan perayaan kawan-kawan Islam, saya bangga," katanya ketika ditemui.

Sheela berharap, penganjur akan dapat melakukan perkara sama pada perayaan Deepavali kelak.

Penduduk Lobak, Low Seng Fei, 42, berkata dataran itu adalah satu-satunya tempat tarikan seumpama itu di daerah Seremban dan mungkin juga di Negeri Sembilan.

"Memang kawasan ini kini dihias dengan lampu bertemakan Aidilfitri yang disambut orang Melayu (Islam), namun tidak salah kita sebagai rakyat Malaysia turut meraikan kemeriahan hari raya.

"Saya puji usaha pihak yang menghias kawasan ini kerana pada Tahun Baharu Cina sebelum ini mereka juga melakukan perkara sama. Ini menggambarkan imej sebenar orang Malaysia," katanya.

Sementara itu, tunjang utama di sebalik hiasan berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong, berkata usaha yang dilakukannya itu disokong penduduk setempat.

"Saya mendapat bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat bagi sama-sama menghias kawasan ini sejak dua minggu lalu.

"Antara hiasan yang ada di sini seperti replika ketupat, lampu jalan ketupat, lemang, wau bulan, pelita panjut dan sebagainya yang mana lebih menarik pada waktu malam.

"Sebahagian daripada hiasan ini diubahsuai daripada bahan pada Tahun Baharu Cina yang lalu. Kami juga merancang untuk menghias Dataran Lobak pada Deepavali akan datang," katanya yang enggan mendedahkan kos membangunkan hiasan itu.

Seh Yong menjelaskan, beliau bertanyakan pendapat masyarakat Islam setempat bagi memastikan hiasan yang dipasang tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

Berita Harian X