Sabtu, 30 March 2024 | 9:42am
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan Anugerah Ikon Kasih Jabatan Penjara Malaysia kepada banduan, Halim (bukan nama sebenar) di Penjara Penor. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan Anugerah Ikon Kasih Jabatan Penjara Malaysia kepada banduan, Halim (bukan nama sebenar) di Penjara Penor. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

Banduan terima tawaran Tengku Ampuan Pahang jadi tukang tenun

KUANTAN: "Saya kini sedang mempertimbangkan tawaran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menawarkan kerja sebagai tukang tenun sepenuh masa selepas dibebas nanti.

"Sebelum bebas pada 21 Januari tahun depan, saya akan buat keputusan terhadap tawaran Tuanku yang menjadi pencetus aktiviti menenun oleh banduan di Penjara Penor dan Penjara Bentong," kata banduan Halim, 37, (bukan nama sebenar).

Dia berkata, sejak sembilan tahun terbabit dengan aktiviti menghasilkan kain Tenun Diraja Pahang di Penjara Penor, lebih 16 kain tenun dihasilkannya menjadi pilihan Tuanku untuk kegunaan keluarga Diraja Pahang itu.

Katanya, Tuanku juga menjadikan kain tenun yang dihasilkannya sebagai hadiah istimewa kepada keluarga Diraja Johor. Selain dijadikan samping, kain tenun juga dijadikan pakaian dengan pelbagai corak dan rekaan yang begitu menarik.

"Mungkin minat dan darah seni yang ada dalam jiwa saya membolehkan saya menghasilkan kain tenun lebih berkualiti mengikut cita rasa Tengku Ampuan Pahang yang begitu meminati produk tradisional Pahang itu.

"Bagi kain tenun milik Tuanku yang saya hasilkan, corak dan warna serta jenis benang cetusan idea Tuanku sendiri yang memiliki pengalaman luas.

"Tuanku akan berbincang dengan pegawai Penjara Penor kemudian pegawai terbabit mengarahkan saya untuk membuatnya mengikut kehendak Tuanku. Apabila siap Tuanku akan datang sendiri ke Bengkel Tenun Penjara Penor untuk melihat dan mengambil," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima Anugerah Ikon Kasih Jabatan Penjara Malaysia sempena Majlis Memasak Bubur Lambuk Bersama Penjara Penor, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain dan Pengarah Penjara Penor, Raja Mohd Amazon Raja Daut.

Anugerah berkenaan disampaikan kepada wakil penerima sebelum ini pada Malam Simfoni Kasih 2023 di Kuala Lumpur, semalam sebelum diserahkan semula kepada Halim.

Selain sijil penghargaan turut diberikan wang tunai RM1,000 sebagai hadiah iringan.

Halim yang menerima hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan kerana kesalahan merogol berkata, dia berbangga dan teruja dengan kepercayaan yang diberikan Tengku Ampuan Pahang padanya.

Dengan kepercayaan itu membuatkan dia berusaha sedaya upaya menghasilkan produk tenun yang terbaik.

Katanya, kini dia menghasilkan kain tenun dalam tempoh dua bulan yang akan digunakan bagi membuat sehelai baju pada majlis perkahwinan anakanda Tuanku, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah yang dijangka pada Ogos depan.

Dia bersyukur dengan anugerah kebolehan menenun yang diberikan Allah, dalam tempoh dua tahun belajar di Bengkel Tenun Penjara Penor dia mampu meraih kemahiran walaupun masih perlu banyak belajar untuk menjadi penenun berkemahiran tinggi.

"Bebas nanti (Januari 2025) saya akan berbincang dengan isteri di Kelantan sebelum membuat keputusan terhadap tawaran Tuanku," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Berita Harian X